Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar  (PKPP) ditubuhkan pada 1hb Jun 2002. Dasar dan Falsafah PKPP adalah bagi melahirkan mahasiswa yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani, membangunkan ketahanan fizikal, mental dan spiritual pelajar, menjana pemikiran kreatif, inovatif, produktif dan proaktif serta menanamkan semangat keyakinan dan cekal menghadapi cabaran. Orientasi pengurusan Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar adalah memberi perkhidmatan  terbaik dalam perlaksanaan pembelajaran dan pengajaran kokurikulum yang merupakan kursus teras Universiti, serta membangunkan daya dan potensi kemahiran insaniah pelajar melalui aktiviti aktiviti pembelajaran dan pemajuan pelajar.

Program kokurikulum  ditawarkan  dalam pelbagai bidang yang releven dengan tuntutan masyarakat serta keperluan dalam sektor pekerjaan masa kini. Setiap pelajar UMS wajib mengambil salah satu kursus kokurikulum yang ditawarkan sebagai sebahagian daripada keperluan pengijazahan, dan pencapaian gred dalam kursus ini di kira dalam pengiraan PNGK. Bagi pelajar yang mempunyai merit 2.4 dan kebawah semasa kemasukan ke Universiti, hendaklah dan diwajibkan mengambil salah satu daripada kursus berasaskan uniform samada PALAPES,  SUKSIS atau UMS-SiswaJatidiri (UMS-SEJATI) seperti yang diluluskan oleh Senat Universiti Malaysia Sabah dalam mesyuarat senat Bil 5/2008 (kali ke-68).

Kursus kokurikulum dinilai sebanyak Tiga (3) jam kredit untuk satu semester kecuali kursus PALAPES (Darat & Udara) dan SUKSIS yang dinilai sebanyak satu  jam kredit bagi setiap semester selama enam semester. Bagi pelajar yang mengambil kursus UMS-Siswa Jatidiri (UMS-SEJATI) akan dinilai sebanyak satu  jam kredit bagi satu semester selama Tiga semester. Pelajar yang berjaya menamatkan kursus PALAPES, SUKSIS dan UMS SEJATI akan ditauliahkan mengikut pasukan masing-masing.

Kuliah teori dan amali kursus kokurikulum dijalankan pada setiap hari sabtu dan ahad dengan jumlah 3 jam kontek setiap minggu atau pertemuan, atau mengikut keperluan kursus yang didaftarkan. Orientasi pembelajaran kursus adalah 30% teori dan falsafah, dan 70% amali/praktikal/studio. Pelajar juga diwajibkan berpatisipasi dalam aktiviti kepimpinan dan kemasyarakatan yang dikenali sebagai program ‘UMS-SiswaPrihatin’ (UMS-SPRINT) bertujuan untuk membangunkan potensi kemahiran insaniah khususnya dari aspek interaksi sosial dan kemasyarakatan, serta penerapan nilai-nilai team-working dan kepimpinan.  Bagi pelajar-pelajar yang mengikuti komponen sukan dan kebudayaan, Karnival Kokurikulum memberi peluang kepada pelajar mempamerkan bakat dan potensi untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi oleh Unit/Jabatan dan Pusat yang berkaitan di UMS. Tenaga pengajar program kokurikulum adalah dari kalangan yang terpilih dan yang berprestasi cemerlang dalam bidang masing-masing. Pelajar dibimbing secara professional dan bersistematik bagi mencapai output kursus yang  maksima.

 

Dari Meja Pengarah

Selamat datang ke Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), Universiti Malaysia Sabah. PKPP ditubuhkan pada 1hb Jun 2002 dengan dasar dan falsafahnya iaitu, “melahirkan mahasiswa yang seimbang dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani, membangunkan ketahanan fizikal, mental dan spiritual pelajar, serta menanamkan semangat keyakinan dan cekal menghadapi cabaran”. PKPP bertanggungjawab mengangkat aspirasi universiti melahirkan modal insan dan sumber manusia yang berkualiti. Kualiti ini tidak hanya bergantung kepada pengetahuan akademik, lebih dari itu ianya patut diiringi dengan pengetahuan dan penguasaan kemahiran insaniah atau soft-skill, yang mampu menjulang kecerdikan dan kecemerlangan personaliti pelajar secara seimbang. Kemahiran-kemahiran ini dianggap sebagai value-added yang dapat membantu pelajar universiti menghadapi persaingan di alam pekerjaan. Beberapa elemen kemahiran Insaniah diberi penekanan dalam pembelajaran kursus Kokurikulum iaitu Kepimpinan, Kerja Berpasukan, Komunikasi, Pemikiran Kritis dan Penyelesaian masalah, dan, pembangunan moral dan pengamalan etika professional.

Pada setiap semester, PKPP menangani perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran program kokurikulum di Tiga (3) buah kampus, iaitu Kampus Induk Kota Kinabalu, Kampus Antarabangsa Labuan dan Kampus SPL Sandakan. Kursus-kursus yang di tawarkan adalah relevan dengan kehendak dan aspirasi pembangunan pelajar yang cemerlang, sesuai juga dengan sistem pembelajaran secara intergratif iaitu penguasaan kemahiran professional dan kemahiran soft-skill. Gabungan pembelajaran secara intergratif ini akan dapat membantu universiti membentuk graduan yang holistik dan berwibawa untuk melangkah ke gerbang kejayaan. Dalam konteks ini, PKPP menggalas tanggungjawab dan terus berusaha memperkasakan sistem dan struktur pembelajaran dari semasa ke semasa agar keperluan dan penguasaan kemahiran professional dan kemahiran insaniah pelajar akan seiring dengan keperluan dalam sektor pekerjaan. Menjadi harapan universiti, dengan konsep pembelajaran dan pengajaran kursus kokurikulum yang bersistematik dan berstruktur di UMS, akan dapat melahirkan graduan dan bakal pemimpin masyarakat dan Negara yang unggul dan cemerlang.

Selamat mengikuti pembelajaran kokurikulum di Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar. Di sinilah bakat dan potensi anda digilap dan dicerna agar anda akan melangkah dengan gagah sebagai pelajar universiti yang berkeyakinan dan berketerampilan.