KHAMIS, 24 OGOS – Seramai 27 peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar prasiswazah UMS menyertai Kursus Latihan Diplomatik anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) yang bertempat di Wisma Putra Kuala Lumpur masih berlangsung hingga kini bermula dari 21 Ogos dan dijangka berakhir pada 25hb Ogos 2017.

Program yang berlangsung selama 5 hari ini bertujuan untuk memperkasa kemahiran diplomasi bagi pelajar dan kakitangan UMS, memperoleh pendedahan dan latihan dalam kemahiran diplomatik serta memperluaskan pengetahuan peserta berkaitan fungsi dan tanggungjawab Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri (MOFA) & Dasar Luar Malaysia.

Melalui program ini peserta didedahkan dengan Pengenalan terhadap IDFR, Fungsi MOFA & Dasar Luar Negara Malaysia, Diplomasi Multilateral & Bilateral, Misi Perkhidmatan Konsular, Protokol, Diplomasi Awam dan Hubungan Media, Peranan Seni Rundingan, Fungsi Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) dan Sumbangannya dalam memerangi Keganasan, Malaysia di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan ASEANS, Peragaan Diri, Sosial & Dinning Etiquett.

Program ini juga dilaksanakan berterusan setiap tahun untuk memberi peluang kepada pelajar bidang hubungan antarabangsa dapat menjalani latihan industri dan program felo perdana di bawah Kementerian Belia Sukan.

Sementara itu, rombongan 27 peserta tersebut bersama Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamaruddin D Mudin dan Pendaftar UMS, No’man Ahmad turut berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman.

Delegasi UMS kemudiannya diraikan dalam satu majlis jamuan makan tengahari di Dewan Serbaguna, Wisma Putra.

 

Oleh: Mardianag Shamsudin, Pelajar Latihan Industri BPK

KHAMIS, 24 OGOS – Kolokium bersama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti  Teknologi MARA (UiTM) berkaitan bidang Pendidikan-Pelancongan (EduTourism) mampu memperkembangkan lagi inisiatif Eko Pelancongan dalam kampus masing-masing.

Kolokium bersama anjuran Pusat Pengurusan Ecocampus UMS itu antara lain menjadi medium perkongsian dan percambahan idea tentang usaha-usaha dan penyelidikan berkaitan EduTourism oleh ahli akademik kedua-dua universiti.

Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS, Prof. Madya Dr. How Siew Eng dalam taklimatnya menjelaskan mengenai strategi pengurusan EcoCampus UMS, selain mempromosikan serta menyalurkan maklumat tentang inisiatif EcoCampus UMS yang telah dimulakan sejak 2013.

“Pelbagai usaha dan cabaran yang dihadapi dalam merealisasikan agenda EcoCampus lebih-lebih lagi operasinya memerlukan kos yang sangat tinggi” ketika menyampaikan pembentangan.

“Selain mendapat peruntukkan daripada pihak UMS, pihak Pusat Pengurusan EcoCampus turut mendapat tajaan daripada kerajaan negeri Sabah untuk terus menggerakkan idea Ecocampus,” katanya.

Selain Dr. How, turut menyampaikan pembentangan ialah Pengarah Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni UiTM, Prof. Madya Dr. Sofian Shamsuddin, pensyarah kanan Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur UiTM Dr. Mohd Salleh Daim, dan Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan EcoCampus UMS, Kueh Boon Hee.

Kolokium sehari itu turut dihadiri delegasi seramai 9 kakitangan dari UiTM diketuai Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni) Prof. Dr. Zaini Abdullah.

 

Oleh: Mardianah Shamsudin, Pelajar Latihan Industri BPK

KHAMIS, 24 OGOS - Kejohanan Bola Tampar Tertutup Piala Dekan Staff FSSA 2017 anjuran Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu memperkukuhkan jalinan kemesraan dan semangat berpasukan dalam kalangan kakitangan fakulti.

 

Dekan FSSA, Prof Dr. Baba Musta berkata, ini kerana dalam pertandingan sukan kerjasama adalah kata kunci dalam pasukan bertanding tanpa mengira gred dan skim jawatan yang disandang, yang akhirnya mampu memupuk hubungan yang lebih kukuh di antara kakitangan.

 

“Penganjuran program sebegini sekali gus dapat merangsang naluri bekerjasama dan bermotivasi dalam diri dan akhirnya mewujudkan suasana harmoni dalam satu fakulti,” katanya.

 

Sementara itu, pensyarah FSSA, Dr. Moh Pak Yan turut melihat kejohanan sukan sebegini mampu membawa nilai positif terhadap kakitangan yang menyertai.

 

“Aktiviti ini memberi ruang kepada semua kakitangan fakulti untuk bergaul dan saling mengenali antara satu sama lain di samping membudayakan kakitangan terhadap usaha menjalani gaya hidup sihat.

 

“Diharap aktiviti seumpama ini dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa dan diteruskan pada tahun hadapan,” ujar beliau.

 

Kejohanan sehari itu menyaksikan gimik perasmian melalui acara servis bola tampar oleh Prof. Baba sebagai tanda bermulanya kejohanan yang berlangsung di Gelanggang Bola Tampar, Pusat Sukan UMS.

 

Kemuncak aktiviti adalah penyampaian hadiah bagi pemenang kejohanan dan juga cabutan tiket bertuah.

 

Sumber : Kenny Uwai, FSSA

RABU, 23 OGOS – Falsafah hidup beragama adalah satu medium yang membawa kepada keamanan, kedamaian dan keharmonian sejagat.

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Abdul Hakim Mohad, masyarakat pada hari ini perlu memahami bahawa agama tidaklah membawa kepada peperangan, perpecahan atau penderitaan kepada umat manusia. 

“Kalau dikaji tentang agama, mana-mana agama sekali pun akan menjurus kepada keamanan dan kesejahteraan baik kepada manusia atau kepada alam semula jadi.

“Namun falsafah tersebut kurang diberi penekanan pada hari ini, dengan ahli agama cenderung untuk menitik berat akan hukum hakam dalam agama, menjadikan agama itu dilihat kurang berjaya untuk membawa manusia untuk hidup bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media bersempena dengan Persidangan Antarabangsa Agama dan Masyarakat kali ke-2 di Mini Auditorium, Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS.

Justeru katanya, penganjuran persidangan ini adalah bertepatan untuk membawa mesej keamanan dan keharmonian dalam kehidupan beragama melalui perkongsian nilai-nilai universal dalam sesuatu agama oleh masyarakat khususnya ahli akademik yang terdiri daripada latar belakang agama yang berbeza.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin ketika merasmikan persidangan tersebut berkata, sambutan menggalakkan persidangan itu dengan terdapat juga pembentang dari Amerika Syarikat, India, Filipina, Thailand, Indonesia dan Brunei menunjukkan bahawa tema “Agama dan Keharmonian Sejagat” merupakan tema penting masyarakat hari ini, dan perlu diangkat dalam perbincangan akademik.

“Adalah diharapkan agar para pembentang dan peserta dapat memanfaatkan platform ini untuk berbincang dan berkongsi idea sesuai dengan kepakaran masing-masing bagi mewujudkan masyarakat yang lebih toleran dan saling hormat-menghormati antara satu dengan yang lain,” ujar beliau.

Persidangan sehari anjuran PPIB UMS itu turut melibatkan kerjasama dengan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Islamic Studies Research Center School of Liberal Arts, Walailak University dan Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS, dengan sejumlah 183 kertas kerja dibentangkan yang akan menyentuh membincangkan pelbagai subjek dan isu berkaitan agama dari pelbagai perspektif.

 

Foto: Nasrul Rukkung

RABU, 23 OGOS – Seramai 10 mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) termasuk dalam 300 pelajar cemerlang universiti seluruh negara dijemput menyertai program KPT-Huawei, iaitu lawatan ke Huawei Innovation Centre di The Intermark, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kesemua mahasiswa UMS yang terlibat terdiri daripada pelajar Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP); Fakulti Kejuruteraan (FKJ); Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI); dan Fakulti Sains dan Sumber Alam.

Program itu adalah salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat syarikat telekomunikasi Huawei.

Pengarah Kanan Hubungan Koporat Huawei, Simon Ng berkata, lawatan itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar cemerlang universiti di Malaysia sekali gus membantu meningkatkan bakat dan kemahiran dengan merasai pengalaman dan menyaksikan sendiri teknologi terkini keluaran Huawei.

Salah seorang mahasiswa UMS, Viliana Jainih berpendapat program tersebut sangat bermanfaat dan mampu meningkatkan pengetahuan khususnya berkaitan teknologi terkini dalam bidang telekomunikasi.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (CICN), Prof. Madya Dr. Justin Sentian turut menyuarakan harapan agar program tersebut akan terus berkesinambungan pada setiap tahun.

Turut mengiringi mahasiswa adalah Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) CICN, Dr. Mohd Kamel Wan Ibrahim dan Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FKI, Dr. Zamhar Iswandono Awang Ismail.