SELASA, 3 OKTOBER – Penganjuran Karnival Kebudayaan Murid Prasekolah dilihat mampu memastikan murid-murid untuk terus maju dalam pendidikan serta mengekalkan jati diri sebagai anak Sabah dengan latar belakang kaum yang pelbagai.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, ia juga sekali gus mampu menyemai rasa bangga dengan kebudayaan etnik masing-masing sejak di peringkat awal kanak-kanak lagi.

“Ada yang mengatakan kita harus berusaha untuk memastikan kita bersatu padu dan kurang memikirkan tentang suku kaum masing-masing.

“Bagi saya, integrasi dan perpaduan sebenar hanya tercapai apabila setiap diri kita merasa selesa bergabung dalam kepelbagaian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Karnival Kebudayaan Murid Prasekolah 2017 di Dewan Resital, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, penganjuran karnival anjuran Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS dengan kerjasama Pusat Minda Lestari UMS itu penting bagi melentur sifat-sifat positif kanak-kanak mencintai negara dengan cara mendedahkan mereka dengan rakan-rakan lain.

“Menerusi karnival ini, ia dapat memanfaatkan peluang yang ada bagi mencungkil bakat kanak-kanak supaya dapat diterampilkan bukan sahaja dapat bersaing di peringkat universiti malah mampu ditampilkan di peringkat kebangsaan kelak.

“Pada kesempatan ini juga, saya mengesyorkan agar guru-guru prasekolah mewujudkan kolaborasi bersama dalam usaha membangunkan potensi kanak-kanak agar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiah,” katanya.

Pada majlis itu, Sekolah Kebangsaan Kaingaran, Ranau dinobat sebagai juara keseluruhan Pertandingan Karnival Kebudayaan Murid Prasekolah, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, piala beserta sijil.

Naib Johan dimenangi Tadika Ria Yayasan Sabah, yang membawa pulang hadiah Wang Tunai RM1,500, piala beserta sijil, manakala Tadika Cinta Sayang Kota Marudu mendapat tempat ketiga dan membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, piala beserta sijil.

ISNIN, 02 OKTOBER – Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pengurusan UMS telah mengadakan perbincangan dan lawatan kerja terhadap Pengerusi Perbadanan Labuan, Datuk Rozman Isli yang juga Ahli Parlimen Labuan di Menara Perbadanan Labuan, hari ini.

Delegasi UMS itu diketuai Ahli LPU, Datuk Dr. Haji Yusof Haji Yacob bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Shahril Yusof.

Turut hadir Pengarah UMS Kampus Antarabangsa Labuan, Prof. Madya Dr. Murnizam Haji Halik dan Timbalan Pendaftar Kanan UMS Labuan, Zamri Haji Mohamad Tuah.

Hadir sama Pengarah Jabatan Perancangan dan Kawalan Bangunan Perbadanan Labuan, Ibrahim Tambi.

Perbincangan tersebut berkaitan pembangunan di UMS Labuan selaras dengan hasrat kerajaan menjadikan Wilayah Persekutuan Labuan sebagai hab pendidikan yang unggul di rantau ini.

Pada masa sama, UMS melihat UMS Labuan berupaya membantu merancakkan ekonomi dan industri pelancongan tempatan dengan kehadiran pelajar antarabangsa di samping pelajar tempatan.

 

Sumber: Azri Onn

ISNIN, 2 OKTOBER - Seramai 62 kakitangan Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyempurnakan Majlis Lafaz Ikrar dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) pada Jumaat.

Majlis itu yang diadakan di Bilik Seminar IBTP disaksikan Pemangku Pengarah IBTP,  Prof. Madya Dr. Monica Suleiman.

Dalam ucapannya Dr. Monica berkata,  IBR merupakan satu inisiatif yang baik bagi memastikan semua kakitangan memegang pada janji untuk bebas daripada gejala rasuah dalam melaksanakan tanggungjawab dengan cekap, bersih dan amanah selaku kakitangan UMS.

“Ini merupakan sahutan kepada usaha pihak pengurusan UMS yang mahu memastikan setiap kakitangan yang ada tidak terlibat kepada gejala kurang sihat ini.

“Sesungguhnya, sebagai penjawat awam, kita harus menjauhkan diri daripada rasuah dan jangan sesekali tergoda dengan sebarang bentuk ganjaran atau 'hadiah' yang bermotifkan keuntungan peribadi,” kata Dr. Monica.

Menurutnya, semua kakitangan IBTP perlu menghayati setiap ayat yang dilafazkan dalam ikrar sekali gus menjalankan tugasan yang diberikan dengan penuh integriti.

“Untuk itu, saya sekali lagi ingin mengingatkan agar semua kakitangan menghindari rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa di IBTP,” tegasnya.

Untuk rekod, setiap Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit di UMS melaksanakan Majlis Lafaz Ikrar dan menandatangani IBR secara berperingkat sejak 25 Ogos lalu dalam usaha memastikan para kakitangan tidak terjerumus ke kancah jenayah rasuah yang kini dianggap antara musuh utama negara.

 

Foto: Nasrul Rukkung

 

RABU, 27 SEPTEMBER - Keseimbangan berkenaan pemuliharaan biodiversiti di Sabah perlu ditangani dengan lebih efektif agar kekayaan biologi semula jadi dapat dipelihara.

Menurut Wakil Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Tomoko Miyagawa, pemuliharaan biodiversiti adalah isu yang sangat penting apabila perihal memelihara alam sekitar dan kepelbagaian biologi bertentangan dengan pembangunan ekonomi masa kini.

“Satu inisiatif baharu iaitu Matlamat Pembangunan Mampan (SDGS) telah dilancarkan dalam tempoh pelaksanaan selama 15 tahun iaitu sehingga tahun 2030 bagi tujuan melindungi, memulihara dan menggalakkan pembangunan ekosistem yang mampan, pengurusan hutan secara lestari serta pemuliharaan alam dan biodiversiti.

“Dalam hal ini, Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) berkenaan pemuliharaan biodiversiti bersepadu yang telah dijalankan pada dua sesi sebelum ini dan diteruskan untuk sesi ketiga bermula tahun lalu (selama tiga tahun),” katanya.

Tomoko berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan TCTP 2017 di Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan (IBTP) Universiti Malaysia Sabah (UMS), kelmarin.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UMS Profesor Dr. Shahril Yusof dalam ucapan perasmian program penutupan TCTP 2017 berkata, UMS mengalu-alukan alumni TCTP untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pemuliharaan biodiversiti di peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran (PhD).

“Saya percaya pengalaman anda beberapa minggu di Sabah masih terhad, disebabkan faktor cuaca yang tidak menentu, ada beberapa aktiviti yang tidak dapat dijalankan.

“UMS sentiasa mengalu-alukan kehadiran anda ke UMS pada masa akan datang dan saya juga menjemput para alumni TCTP untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana dan PhD di sini,” ujarnya.

Pada majlis penutupan itu, kesemua peserta TCTP  menerima sijil daripada pihak IBTP selaku penganjur utama.

Turut hadir, Pemangku Pengarah IBTP, Profesor Madya Dr. Monica Suleiman dan Ketua Konsul Jepun di Pejabat Konsulat Jepun Kota Kinabalu, Hiroko Matsuo.

SELASA, 26 SEPTEMBER - Pasukan Medical Emergency Response Team, Universiti Malaysia Sabah (MERT-UMS) dengan kerjasama Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS (UMS4WDVC) menjayakan Ekspedisi WRS CSR 4x4 bertempat di Kampung Rundum, Kemabong Tenom baru-baru ini.

Menurut penyelaras konvoi, Hasmi Hashim, penyertaan konvoi UMS atas jemputan pihak WRS melibatkan sejumlah enam buah kenderaan pacuan empat roda milik ahli kelab UMS4WDVC yang diketuai Presidennya, Prof. Dr. Shahril Yusof.

Keenam-enam buah kenderaan tersebut katanya telah membawa pasukan MERT-UMS yang terdiri daripada dua doktor pakar, seorang penolong pegawai perubatan dan tiga jururawat berserta ubat-ubatan dan peralatan perubatan ke kampung itu bagi menempuh perjalanan “offroad” yang agak mencabar.

“Setibanya di Kampung Rundum, pelbagai aktiviti dijalankan pasukan konvoi UMS, antaranya pemeriksaan kesihatan kepada lebih 80 penduduk kampung, serta pemberian ubat-ubatan secara percuma.

“Di samping itu, turut diadakan kelas memberus gigi dengan teknik yang betul dan pemberian berus gigi percuma sumbangan Pengerusi MERT-UMS, Prof. Madya Dr. Khin Maung Ohn @ Arif kepada lebih 30 kanak-kanak kampung ini,” katanya.

Tambah Hasmi, ahli kelab UMS4WDVC juga telah memberikan sumbangan makanan ringan kepada kanak-kanak berkenaan.

Sementara itu, Prof. Dr. Shahril yang juga merupakan ketua konvoi tersebut merakamkan penghargaan kepada Presiden Kelab WRS, Thompson Teo atas jemputan untuk melibatkan pasukan UMS dalam program berbentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut.

“Program sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai sebahagian daripada sumbangan UMS kepada masyarakat pedalaman Sabah,” ujar beliau.

Ketua Kampung Rundum, Upas Uring turut menyampaikan penghargaan kepada konvoi UMS yang sudi menghulurkan bantuan perubatan secara percuma kepada penduduk kampung, serta berharap agar aktiviti seperti ini akan dilaksanakan lagi pada masa akan datang.