RABU, 21 SEPTEMBER – Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Forum Kesihatan Awam Mengenai Virus Zika yang bertujuan untuk menyalurkan maklumat kepada orang ramai mengenai pencegahan virus tersebut.

Menurut Timbalan Dekan FPSK, Prof. Dr. Ahmad Faris Abdullah, melalui penganjuran forum ini dapat memberikan maklumat yang lebih jelas mengenai peranan Jabatan Kesihatan dan posisi UMS sebagai institusi ilmiah dalam menangani isu berkaitan penyakit berjangkit.

“UMS sentiasa prihatin terhadap isu semasa, terutama mengenai kes yang boleh mengancam nyawa seperti virus zika.

“Justeru, peluang untuk mengumpulkan pakar-pakar dari UMS bersama pihak dari Jabatan Kesihatan dalam satu forum dapat digunakan sebagai platform kepada perkongsian ilmu dan kepakaran antara kedua-dua pihak, sekali gus mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Mohd Harun Abdullah merasmikan forum tersebut di Auditorium Utama, FPSK.

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr. Jiloris F Dony berkata, kajian menyeluruh serta pemerhatian mendalam diperlukan bagi mengenal pasti tahap keseriusan jangkitan virus Zika di Sabah.

Ujarnya, kerjasama bersama institusi ilmiah seperti UMS mampu membuka peluang agar lebih banyak penyelidikan berkaitan virus Zika dijalankan secara spesifik.

Lebih 500 orang hadir pada forum yang berlangsung selama sehari itu.

SELASA, 20 SEPTEMBER – Program Daycare dan Transit, Pusat Minda Lestari (PML) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Muzium Negeri Sabah baru-baru ini.

Lawatan ini telah disertai oleh seramai 52 orang murid berumur antara 4 tahun hingga 6 tahun dan diiringi oleh 8 orang guru termasuk penyelia program Daycare dan Transit, Jaini Sapirai.

Menurut Jaini, lawatan ini bertujuan memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan murid-murid dengan mengetahui mengenai sejarah tanah air.

“Mereka berpeluang melihat secara nyata tinggalan sejarah negara selain dapat memperkembangkan sosio emosi, daya intelek dan perkembangan motor kasar dalam membantu perkembangan peringkat awal kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya lagi, murid-murid juga berpeluang meneroka artifak-artifak sejarah zaman dahulu kala yang terdapat di muzium, selain berkesempatan melihat sendiri haiwan-haiwan yang telah diawet. serta merasai sendiri pengalaman bermain beberapa jenis permainan berkaitan alam sains.

“PML giat melaksanakan aktiviti luar pada musim cuti sekolah sebagai usaha membantu menambah ilmu dan kecerdasan minda kanak-kanak PML,” ujarnya.

Sumber: Pusat Minda Lestari

SELASA, 20 SEPTEMBER – Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (JAKMAS) Kolej Kediaman E mengambil inisiatif memperkenalkan kolej kediaman tersebut secara umum kepada pelajar-pelajar baharu sesi kemasukan 2016/2017 melalui penganjuran Minggu Seerat Salam yang bermula semalam.

Menurut Yang Di-Pertua JAKMAS, Nurul Syazwani Mohamad Ghaazali, program ini dijalankan bertujuan untuk memperkenalkan Kolej Kediaman E  dan pihak pengurusan dan pentadbiran kolej secara lebih dekat kepada penghuni baru Kolej Kediaman E, serta memaklumkan peraturan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang diguna pakai di universiti.

“Secara tidak langsung, program ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara pihak pengurusan seperti JAKMAS, Majlis Ketua-ketua Blok (MKKB), dan Majlis Ketua-ketua Kelab (MKKK) kepada semua pelajar baharu,” ujarnya.

Beliau yang menyampaikan taklimat pengenalan kolej pada sesi di Anjung Perdana, Kolej Kediaman E turut memaklumkan penganjuran program sebegini mampu memudahkan pelajar baharu menjalani kehidupan sebagai mahasiswa dengan kemudahan-kemudahan yang disediakan, selain memberi pandu arah kepada mereka mengenai individu yang perlu dirujuk sekiranya menghadapi sebarang masalah.

Antara pengisian program sepanjang Minggu Seerat Salam adalah Malam Pengenalan Kelab, yang melibatkan sejumlah 12 buah kelab yang berdaftar di kolej kediaman E, selain program Kuliah Maghrib, Megarewang, Latihan dalam kumpulan, dan diakhiri dengan Malam Seribu Bintang pada 25 September.

Pada Malam Pengenalan Kolej, lebih 2,500 orang pelajar, termasuk 2,424 pelajar baharu membanjiri Anjung Perdana Kolej Kediaman E yang turut dihadiri Pengetuanya, Dr. Syahruddin Awang Ahmad, Timbalan Pengetua Mohd Hilmey Saili, dan Pengurus Operasi Sepanggar Jaya JV Sdn Bhd, Maximillian N. Lidong

ISNIN, 19 SEPTEMBER - Seramai 19 lagi pelajar antarabangsa mendaftar di Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui program mobiliti pelajar.

Kesemua pelajar tersebut berasal dari lima negara iaitu Korea Selatan, Indonesia, Jerman, Brunei dan Thailand.

Menurut Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, penglibatan para pelajar berkenaan dalam program itu di UMS bukan hanya dapat memberi ruang pembelajaran kepada mereka, malah dapat berkongsi kemahiran yang dimiliki kepada masyarakat.

“UMS berharap agar anda semua akan menjadikan universiti ini pilihan untuk meneruskan pengajian di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah kelak,” katanya ketika berucap dalam satu majlis mengalu-alukan ketibaan kumpulan pelajar itu di Cafe D’Sireh, hari ini.

Datuk Harun turut menasihatkan para pelajar berkenaan untuk mempelajari budaya dan bahasa yang terdapat di negeri ini agar dapat menjadi nilai tambah kepada mereka selama enam bulan berada di UMS.

Empat fakulti yang terlibat dalam program mobiliti tersebut adalah Fakulti Komputeran dan Infomatik (FKI), Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) serta Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA).

Untuk rekod, UMS setakat ini mempunyai 713 pelajar antarabangsa yang mengikuti program diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan latihan industri.

Foto: Suzeanywati Gasinin

KHAMIS, 15 SEPTEMBER - Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah menggalakkan semua staf yang berada di Bangunan Canselori untuk mula bercucuk tanam di ruang yang telah disediakan sekitar bangunan tersebut.

Menurutnya, usaha tersebut bertujuan menyokong pelaksanaan EcoCampus bagi melestarikan alam semula jadi dalam kampus.

“UMS kini menjadi salah satu destinasi pelancongan di Sabah. Landskap yang tersedia indah dan menjadi semakin indah apabila bunga-bunga mula mekar di sepanjang jalan di dalam kampus menjadi ikon pengunjung untuk memotretkan kenangan,” ujarnya.

Tambah beliau, aktiviti bercucuk tanam harus dijadikan salah satu hobi yang bermanfaat oleh staf UMS kerana hasil tanaman tersebut dapat dinikmati oleh warga kampus.

Pada pelancaran tersebut, beberapa pokok buah-buahan dan sayur-sayuran turut ditanam seperti durian, bayam, kangkung, terung dan ulam raja.

Turut hadir, Pegawai-pegawai Utama dan Kanan Universiti, staf bangunan Canselori serta pelajar UMS. -ZMD-

Foto: Musaab Umair

IKUTI KAMI @

CAPAIAN PANTAS

  •  Direktori Kakitangan
  • Direktori Kepakaran
  • Portal Kakitangan
  •  Portal Pelajar
  •  SmartUMS
  •  E-Respon
  •  VirtualTour@UMS
  •  UMS Institutional Repository
  •  Tempahan Ruang

PAUTAN LAIN

  •  Peta UMS
  • Data Terbuka
  • Portal Kerajaan Negeri Sabah
  • Kementerian Pengajian Tinggi (KPT)
  • MAMPU
  • Portal Kerajaan Malaysia (MyGov)
  • UMS Investment Holdings Sdn. Bhd.