RABU, 16 OGOS – Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Zainal Arifin Mustapha menghadiri Mesyuarat Majlis Dekan Fakulti Perubatan Universiti Awam (UA) kali Ke-4/2017 yang diadakan di Kota Kinabalu, Sabah baru-baru ini.

Mesyuarat itu telah dihadiri 13 Dekan Perubatan UA dengan dipengerusikan oleh Prof. Dato Dr. Abd. Jalil Nordin dari Universiti Putra Malaysia.

Mesyuarat itu antara lain membincangkan agenda berkaitan kurikulum perubatan, Penilaian Program Kepakaran Perubatan, Jawatankuasa bersama Ijazah Lanjutan Perubatan dan Konsortium Hospital Universiti.

Hadir sama dua Ex-officio iaitu Prof. Emeritus Dato Nik Mohd Nasri Nik Ismail dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Prof. Dr. Ahmad Sukari Halim dari Universiti Sains Malaysia (USM).

 

Sumber: Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan

SELASA, 15 OGOS – Pacific Rim Objective Measurement Symposium (PROMS) 2017 telah diadakan dengan jayanya baru-baru ini di Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Simposium yang dianjurkan dengan gabungan kerjasama UMS, Pacific Rim Objective Measurement Society, Metametrics dan Malaysia Rasch Chapter (myRasch) antara lain bertujuan sebagai medan perkongsian pengetahuan dan aplikasi model Rasch dalam komuniti antarabangsa selain menggalakkan pembentangan pelajar pascasiswazah dan pakar-pakar dalam bidang pengukuran.

Selain peserta dari negara Malaysia,  74 peserta simposium itu juga datang dari negara-negara luar seperti Indonesia, Australia, Singapura, Amerika Syarikat, Portugal, Thailand, Filipina, Macau, Hong Kong, China dan Jepun.

Pemberi ucaptama pada simposium itu ialah pakar dalam pengukuran iaitu Prof. Margaret Wu dari University of Melbourne, Prof. Robert Cavanagh dari University of Curtin Australia dan Dr. Mohd Zali Mohd Noh dari myRasch.

Sementara itu, Prof. Robert Cavanagh selaku pengerusi PROMS merakamkan setinggi penghargaan kepada UMS kerana sudi menyediakan kemudahan dan lokasi untuk mengadakan program simposium berkenaan.

Beliau juga sangat terharu dengan sokongan padu yang diberikan oleh bekas pelajar Ijazah Doktor Falasafah (PhD), pelajar semasa PhD dan pelajar sukarelawan dari Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) di bawah bimbingan Prof Dr. Vincent Pang dan Dr. Connie Ompok kerana bertungkus lumus untuk menjayakan simposium itu.

Katanya, kertas yang terpilih akan diterbitkan dalam Prosiding Persidangan PROMS oleh Springer-verlag.

Turut diadakan sempena persidangan itu ialah bengkel Introduction to Rasch Measurement Model oleh Prof. Trevor Bond dan Dr. Zali, serta bengkel Rasch Model Across the Human Science: Using Rasch Measures for Structural Equation Modelling oleh Dr. Ling Mei Teng dan Nor Irvoni Mohd. Ishar.

 

Sumber: Jaini Sapirai, Fakulti Psikologi dan Pendidikan

 

SELASA, 15 OGOS – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (CICN) dengan kerjasama United Nation Children Emergency Fund (UNICEF) telah mengadakan Bengkel Communication for Development (C4D) di Galeri Majlis UMS.

Timbalan Pengarah CICN, Prof. Madya Dr. Sivakumar Kumaresan berkata, program tersebut dianjurkan bertujuan untuk membantu kakitangan UMS dan rakan kerjasama universiti untuk meningkatkan keupayaan dalam sebarang aktiviti bersama komuniti serta memperoleh cara penyelesaian yang mampan apabila berkhidmat dengan masyarakat.

“UMS juga berhasrat untuk bekerja lebih rapat dengan masyarakat melalui penglibatan agensi-agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Justeru, melalui bengkel ini bukan sahaja mampu memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari metodologi baru, tetapi juga mewujudkan jalinan baru untuk pelbagai kerjasama pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis tersebut, kelmarin.

Menurut beliau, sebagaimana yang digariskan dalam Bidang Keberhasilan Utama UMS ke-6 (UMS KRA-6), iaitu Mempergiat Penglibatan Komuniti dan Industri, adalah menjadi tanggungjawab CICN untuk memastikan KRA itu tercapai.

“Oleh itu, CICN telah menyelaraskan pelbagai geran berkaitan komuniti seperti Program Pemindahan Pengetahuan (KTP), geran Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), dan geran Pusat Transformasi Masyarakat Universiti (UCTC) untuk tujuan tersebut,” tambah Dr. Sivakumar.

Bengkel yang disertai seramai 30 orang peserta itu berlangsung selama lima hari dan dijangka berakhir pada 18 Ogos ini.

 

Oleh: Mardianah Shamsudin (Pelajar Latihan Industri BPK)

Foto: Suzeanywati Gasinin

 

JUMAAT, 11 OGOS – Kumpulan Tahammas dari Jabatan Bendahari UMS sekali lagi melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas dalam pertandingan Konvensyen Team Excellent 2017 Zon Wilayah Sabah dan Sarawak yang berlangsung di Le Meridien, Kota Kinabalu.

Turut mengekori langkah kanan kumpulan itu ialah kumpulan ECO-TECH dari Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) dan kumpulan E-CODE dari Jabatan Pendaftar.

Ketiga-tiga Kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) UMS itu meraih anugerah emas apabila berjaya memukau para juri dengan persembahan projek yang mantap dan menepati kriteria yang telah ditetapkan.

Majlis Penyampaian hadiah dan sijil disampaikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Ag. Buhtamam Ag. Mahmun.

Konvensyen yang diadakan selama dua hari sehingga Rabu itu menyaksikan sebanyak 36 kumpulan dari Sabah dan Sarawak telah mengambil bahagian.

 

Oleh Mardianah Shamsudin (Pelajar Latihan Industri BPK)

 

 

KHAMIS, 10 OGOS  – Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Fakulti Kejuruteraan (FKJ) telah membangunkan Sistem Purata Nilaian Gred Kumulatif Bersepadu (iCGPA) yang sedia untuk dilaksanakan pada sesi kemasukan pelajar baharu September 2017/2018 akan datang. 
Dekan FKJ, Prof. Ir Dr. Abd. Karim Mirasa berkata, Jawatankuasa iCGPA FKJ yang dibentuk sejak November 2016 dipertanggungjawabkan bagi memastikan reka bentuk dan pembangunan sistem iCGPA tersebut menepati kehendak dan keperluan program-program di UMS. 
“iCGPA diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia bertujuan untuk meningkatkan sahsiah dan kreativiti pelajar ke arah melahirkan graduan yang holistik bercirikan keusahawanan dan seimbang.
“Dalam mendukung inisiatif KPT tersebut, FKJ komited untuk melaksanakan iCGPA kepada para pelajar baharu yang bakal mendaftar dalam Program Kejuruteraan Awam (HK01) bagi sesi kemasukan September 2017/2018 akan datang, bersama dengan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) iaitu bagi Program Perakaunan (HE02),” katanya. 
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Penyediaan Manual Sistem iCGPA 2017 di Cafe D’Sireh, UMS. 
Menurut beliau, segala garis panduan dan manual bagi Sistem iCGPA UMS yang terhasil melalui bengkel  tersebut akan diterbitkan untuk kegunaan dan rujukan pada masa hadapan. 
“Pusat Pengurusan Strategik dan Akademik (PPSA) UMS yang diamanahkan untuk memantau dan menyelaras perancangan dan pelaksanaan iCGPA UMS turut terlibat dalam menjayakan bengkel ini,” ujar Prof. Ir. Dr. Abd. Karim. 
Bengkel sehari itu dihadiri seramai 25 peserta daripada kalangan warga FKJ dan PPSA.  
Hadir sama pada program tersebut Timbalan Pengarah PPSA, Dr. Mohd. Hanafi Ahmad Hijazi, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKJ, Prof. Madya Dr. Ismail Saad, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FKJ, Dr. Mohd. Kamel Wan Ibrahim, dan Timbalan Pendaftar FKJ, Azmi Jumat.