SELASA, 29 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan membangunkan Projek Rumah Komuniti Parlimen Tawau melalui sistem Interlocking Brick Construction (IBC).

Ketua projek bersama, Prof. Ir. Dr. Abdul Karim Mirasa berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menganugerahkan geran Program Penyelidikan Translational sebanyak RM1 juta kepada UMS dan UTM bagi tujuan tersebut.

“Sebuah mesin pembuatan batu bata IBC juga akan ditempatkan di Kampus UMS Kota Kinabalu untuk projek pembinaan rumah komuniti ini selain sebagai usaha penyelidikan berterusan bagi mempertingkatkan kaedah pembinaan yang lebih efisien,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media hari ini.  

Prof. Ir. Dr. Abdul Karim berkata, projek Penyelidikan Translational dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) itu adalah berkonsepkan Sistem Bangunan Industri (IBS).

“Antara kebaikan menggunakan sistem ini adalah cepat dibina, senang dipasang, lebih kuat dan kosnya yang kompetitif.

“Sebanyak lapan buah rumah komuniti di kawasan terpilih daerah Tawau akan dibina menggunakan sistem IBS yang turut melibatkan bantuan teknikal industri, Politeknik Tawau dan Kolej Komuniti Tawau,” jelas Dekan Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS itu lagi.

Menyentuh mengenai IBC Prof. Ir. Dr. Abdul Karim berkata,  ia merupakan revolusi baharu dalam pembinaan yang menyaksikan batu bata dihasilkan menggunakan kaedah tekanan mesin menggantikan kaedah pembakaran sekali gus  menghasilkan batu bata yang lebih kuat dan dimensi yang lebih tepat.

“Kaedah ini telah lama digunakan di Eropah dan di negara maju yang lain.

“Selaras dengan teknologi hijau yang mendukung kelestarian alam sekitar,  kita juga akan menggunakan hasil inovasi penyelidik FKJ UMS iaitu Ultrafine Palm Oil Fuel Ash dan bahan buangan kuari sebagai sebahagian bahan campuran selain dari simen, pasir dan tanah liat,” tambahnya.

Majlis pecah tanah Projek Rumah Komuniti Parlimen Tawau telah berlangsung baru-baru ini di Balung Tawau dengan disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi KPT, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching selaku Ahli Parlimen Tawau.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof. 

 

 

Sumber: Prof. Madya Dr. Nurmin Bolong

SELASA, 29 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengedarkan lebih 1,000 Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada warga kampus dalam satu Program Semarak Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan 2017.

Edaran tersebut disempurnakan Naib Canselor UMS, Profesor Dr. D Kamarudin D Mudin di Pintu Utama UMS bermula pukul 4.30 petang, kelmarin.

Pada tahun ini, UMS turut melibatkan 11 buah kenderaan Kelab Sukarelawan Pacuan Empat Roda UMS untuk membawa dan mengibarkan bendera selama sebulan di sekitar Kota Kinabalu.

Turut hadir pada program itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Shahril Yusof; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ismail Ali; Pendaftar UMS, No’man Datuk Hj. Ahmad; dan Ketua Pustakawan UMS, Dayang Rukiah Ag. Amit.

Seperti tahun sebelumnya, UMS mula mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah pada 1 Ogos di semua bangunan yang terdapat dalam kampus sebagai usaha menyemai dan menyubur semangat patriotisme sekali gus menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.

 

 

ISNIN, 28 OGOS – Seramai 47 peserta dari dalam dan luar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Bengkel Korban, Aqiqah dan Sembelihan anjuran Pusat Islam UMS (PIUMS) di Masjid UMS baru-baru ini.

Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UMS, Ustaz Razali Saibin berkata, turut diadakan Bengkel Amali Sembelihan yang melibatkan seekor lembu dan kambing yang disembelih di perkarangan masjid sebagai praktikal kaedah mudah tumbang dan sembelih haiwan halal kepada semua peserta.

“Acara penyembelihan ini dilakukan sendiri oleh para peserta yang diketuai Konsultan Penyembelihan Halal, Ustaz Sablee Abdul Rahman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada bengkel tersebut.

Menurut Ustaz Razali, bengkel itu adalah kesinambungan kursus kaedah penyembelihan mudah yang dianjurkan sebelum ini sekali gus dilihat amat bertepatan sempena sambutan Hari Raya Korban yang tinggal beberapa hari sahaja lagi.

Dalam pada itu, Ustaz Sablee ketika ditemui turut menyuarakan harapan agar semua peserta terus melibatkan diri dalam aktiviti penyembelihan dan Ibadah Korban kerana ibadah ini berkait rapat dengan makanan seharian masyarakat.

“Peserta turut diberikan beberapa petua untuk mengatasi gemuruh ketika proses penyembelihan dan nampaknya teknik itu berkesan dan membantu mereka lebih bersemangat dan berani, tahniah kepada mereka dan juga Pusat Islam UMS atas inisiatif menganjurkan bengkel seumpama ini,” ujar beliau.

 

JUMAAT, 25 OGOS – Seramai 29 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi antara perintis program Gap Year Kesukarelawanan melalui aktiviti kesukarelawan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin berkata, menerusi program tersebut, para peserta dapat menyelami kerja-kerja yang telah diusahakan oleh DBKK untuk menjaga persekitaran terutamanya di kawasan Kota Kinabalu yang menjadi tarikan pelancong luar dan dalam negara.

“Hasil kerjasama dengan DBKK selaku rakan strategik UMS, para peserta berpeluang untuk melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan fungsi dan usaha DBKK dalam menjaga persekitaran bandaraya.

“Program seperti ini mengambil masa yang panjang demi menjaga dan memberikan kesedaran kepada masyarakat akan peri pentingnya menjaga alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Dr. Ismail Ali bersempena Majlis Penghargaan Peserta Program Gap Year (Summer Volunteerism) Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia 2017 di Bangunan DBKK, pagi tadi.

Ujar beliau, para peserta diharap dapat memanfaatkan peluang ini untuk menimba seberapa banyak ilmu baharu.

Sementara itu, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai dalam ucapannya turut berharap agar para pelajar UMS yang menyertai program itu dapat memupuk dan menyebarkan konsep dan semangat kesukarelawan.

“Masyarakat perlu ada semangat kesukarelawan kerana semangat sebegini mampu mendidik mereka untuk menjadi lebih bertanggungjawab khususnya terhadap penjagaan alam sekitar, selain memupuk  semangat muhibah melalui aktiviti yang dijalankan bersama tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Pada majlis tersebut, Datuk Yeo menyampaikan sijil penghargaan kepada para peserta Program Gap Year (Summer Volunteerism) 2017 sebagai menghargai sumbangan dan khidmat bakti yang dijalankan sejak 5 Julai lalu dan dijangka berakhir pada 30 Ogos ini.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Pengarah DBKK, Datuk Joannes Solidau; Pengarah Bahagian Pembangunan Mahasiswa, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Prof. Madya Dr. Sopian Bujang; dan Pengarah Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya, DBKK Robert Lipon.

 

JUMAAT, 25 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi institusi pendidikan tinggi yang pertama di Sabah melafazkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di hadapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perkara itu dinyatakan Pengarah SPRM Sabah, Dato’ Sazali Saibi kepada pemberita dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis IBR peringkat UMS.

“Secara keseluruhannya, UMS merupakan organisasi yang ke-51 di negeri ini yang memberikan komitmen tinggi bagi menjayakan program yang diinisiatifkan SPRM dalam usaha memerangi jenayah rasuah,” katanya.

Beliau turut memuji UMS kerana sejak sekian lama telah mewujudkan Sekretariat Pencegahan Rasuah Universiti Malaysia Sabah (SPRUMS) yang dianggotai mahasiswa di universiti itu.

“Ini menunjukkan satu komitmen padu dari UMS untuk memerangi jenayah yang kini menjadi musuh utama negara sekali gus membantu ke arah melahirkan generasi yang benci dan bebas rasuah,” tambah Dato’ Sazali.

Terdahulu,  Naib Canselor UMS, Prof. Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapannya berkata, ikrar tersebut adalah ikrar setiap kakitangan di UMS untuk lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah.

“Pada kesempatan ini, suka saya memaklumkan bahawa semua Dekan dan Ketua Jabatan harus melaksanakan ikrar ini di peringkat Jabatan, Fakulti, Pusat, Institut dan Unit masing-masing secepat mungkin,” katanya.

Prof. Dr. D Kamarudin turut mengetuai bacaan ikrar bebas rasuah bersama-sama Pegawai-pegawai Utama dan kanan UMS.

 

 

Foto: Suzeanywati Gasinin