McDermott, sebuah syarikat antarabangsa berpangkalan di Amerika Syarikat, dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah memeterai satu Surat Hasrat (LoI) bagi menjalin kerjasama dalam inisiatif akademik dan industri yang bakal memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tempatan serta pengukuhan kapasiti serantau di Sabah, yang merupakan hab tenaga utama Malaysia.

LoI tersebut merangkumi kerangka kerjasama jangka panjang yang akan melibatkan empat fakulti di UMS, iaitu Fakulti Komputeran dan Informatik, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Sains dan Teknologi, serta Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan.

Kerjasama itu termasuk penempatan industri untuk pelajar, penyelidikan bersama, projek pendidikan serta pembangunan kokurikulum bagi menyokong pembentukan tenaga kerja yang lebih mahir dan bersedia untuk industri.

Majlis pemeteraian LoI tersebut telah berlangsung bersempena dengan Persidangan dan Pameran Energy Asia 2025 yang diadakan baru-baru ini di Kuala Lumpur, dan turut disokong oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam usaha memperkukuh komitmen terhadap kandungan tempatan di negara ini.

Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan, menerusi kerjasama itu, UMS dan McDermott berhasrat menyelaraskan pembelajaran akademik dengan keperluan industri, selain merapatkan jurang kemahiran dan menyokong pertumbuhan mampan.

“Ini sekali gus menyokong matlamat kami untuk melahirkan graduan berimpak tinggi yang bersedia untuk menyumbang dalam sektor tenaga.

“Kepimpinan industri McDermott serta fokusnya yang jelas terhadap pembangunan serantau menjadikan kerjasama ini langkah yang bermakna ke arah memperluas peranan Sabah dalam ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan McDermott bagi Kemudahan Dasar Laut dan Terapung, Mahesh Swaminathan berkata, kerjasama ini mencerminkan pelaburan berterusan McDermott dalam masa depan Malaysia.

“Ini dilaksanakan dengan menyokong kerjasama akademik-industri dan memperkukuh keupayaan tempatan, khususnya di Sabah.

“Usaha ini selari dengan pelbagai inisiatif pembangunan kandungan tempatan dan tenaga kerja yang telah dilaksanakan di rantau ini, dan mengukuhkan komitmen kami untuk memperluas peluang di kawasan yang paling memerlukan,” katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Promosi dan Pemudahcara Pelaburan) MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja turut bersetuju bahawa kolaborasi tersebut merupakan contoh terbaik tentang bagaimana industri dan akademia boleh bekerjasama dalam menyokong visi Malaysia untuk menjadi hab serantau bagi bakat bernilai tinggi dan inovasi.

“Fokus McDermott terhadap pembangunan kapasiti turut menyokong matlamat nasional untuk membangunkan sektor tenaga yang kompetitif dan inklusif di peringkat serantau,” ujar beliau.

Inisiatif kolaborasi antara kedua-dua organisasi itu turut menyokong perkongsian ilmu, aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), serta penyelidikan yang sejajar dengan keperluan industri dan menyumbang kepada usaha negara untuk pertumbuhan inklusif dan pembangunan berpaksikan inovasi.

Hadir sama pada acara menandatangani LOI tersebut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan seminar “Beyond Care: Empowering Caregivers” bagi memartabatkan industri penjagaan negara yang berlangsung di Galeri Majlis, Bangunan Canselori UMS, baru-baru ini.

Ia dianjurkan bersama oleh Pusat Pendidikan Fleksibel UMS dan Jabatan Pembangunan Bakat UMS yang telah dirasmikan oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor.

Menurut Kasim, universiti kini bukan hanya menyampaikan ilmu teori, tetapi turut berperanan melahirkan tenaga kerja mahir yang seimbang dari aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai insan.

“Kita sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran demografi termasuk penuaan penduduk, penyakit kronik, serta keperluan penjagaan untuk golongan warga emas dan OKU.

“Golongan penjaga atau caregiver semakin penting, oleh itu universiti mempunyai peranan strategik untuk memperkasakan mereka,” ujar beliau semasa perasmian tersebut.

Penganjuran seminar ini dilihat sejajar dengan dasar negara seperti Dasar Warga Emas Negara, Dasar Orang Kurang Upaya (OKU) dan dasar kesihatan awam.

Kasim turut memuji peranan Pusat Pendidikan Fleksibel UMS yang proaktif menawarkan program pensijilan dalam bidang penjagaan bagi memperluaskan akses Kepada latihan kemahiran.

“UMS ingin tampil bukan sahaja sebagai pusat pendidikan formal, malah sebagai pusat rujukan komuniti dan inovasi sosial.

“Kita mahu menjadi pemacu kepada pembangunan industri penjagaan negara” katanya lagi.

Cabaran dalam membina ekosistem penjagaan yang lebih mampan dan berdaya saing telah menghimpunkan ahli akademik, pengamal industri penjagaan dalam seminar ini.

Kasim turut menegaskan bahawa ilmu yang ditawarkan di universiti harus menjangkau pasaran kerja semata-mata untuk membentuk masyarakat penyayang serta berempati selaras dengan prinsip Malaysia Madani.

“Saya berharap seminar ini menjadi titik permulaan kepada jaringan lebih meluas dalam membangunkan bidang penjagaan sebagai satu industri kondusif,’’ katanya.

 

Anak jati Batu Sapi Sandakan, Mohammad Azmir Misnani, melakar kejayaan tersendiri apabila kumpulan cerpen bertajuk ‘Kelopak Mawar’ diangkat sebagai Cerpen Terbaik dalam Program Adikarya 2025, sebuah program penghargaan tertinggi bagi karya projek akhir Penulisan Kreatif di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Kumpulan cerpen ‘Kelopak Mawar’ akan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, bersama karya-karya terbaik lain dalam Program AdiKarya 2025.

Kumpulan cerpen ini mengetengahkan tema psikologi gelap dan penderitaan batin manusia, digarap dalam gaya simbolik dan sadis berdasarkan kerangka Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental (DSM-5) yang biasa digunakan dalam bidang psikiatri.

Azmir, 22, kini sedang mengikuti Program Penulisan Kreatif, Ijazah Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian, UMS.

Beliau membesar di Sandakan dan menjadikan pengalaman peribadi sebagai nadi kepada karya-karyanya yang penuh kejujuran, simbolisme, dan perjuangan emosi.

“Saya cuma anak kampung dari Batu Sapi. Saya menulis kerana saya tahu bagaimana rasanya bila suara kita tidak didengar. Cerpen ini untuk mereka yang bergelut dalam senyap. Kalau tulisan ini dapat menemani kesunyian seseorang, itu sudah cukup,” katanya.

Menurut Azmir, proses menyiapkan kumpulan cerpen ‘Kelopak Mawar’ bukanlah mudah, malah mengambil masa hampir enam bulan, termasuk proses penyelidikan gangguan mental berdasarkan DSM-5, penulisan naratif yang mendalam, serta penyuntingan berulang kali.

“Ada hari saya tulis satu perenggan pun tidak habis. Tapi bila datang waktu sunyi yang betul-betul gelap, saya boleh siapkan satu cerpen dalam satu malam.

“Kesemua sepuluh cerpen ini ditulis dalam fasa berbeza – waktu gembira, waktu kecewa, dan waktu saya sendiri tak pasti siapa saya,” jelasnya.

Ketika ditanya tentang siapa sasaran pembacanya, Azmir menjawab dengan jujur bahawa cerpen-cerpen ini bukan untuk semua orang.

“Saya tulis untuk mereka yang pernah rasa hilang arah, yang tak jumpa bahasa untuk menggambarkan sakit sendiri. Kalau ada pembaca yang pernah rasa macam nak putus, atau pernah rasa suara dalam kepala terlalu kuat – kumpulan cerpen ini adalah untuk mereka,” katanya.

Mengenai perancangan akan datang, Azmir bercadang untuk memperluaskan penerokaan dalam bidang penulisan kesihatan mental di peringkat penerbitan nasional dan antarabangsa.

“Saya mahu terus menulis. Saya mahu terbitkan versi buku penuh Kelopak Mawar yang lebih kemas, dengan lukisan dan catatan tambahan. Kalau diberi ruang, saya juga mahu bawa naskhah ini ke sekolah dan institusi, bukan untuk bacaan ringan, tapi sebagai bahan pemahaman jiwa,” tambahnya.

Menurut penyelia beliau, Prof. Madya Dr. Zairul Anuar Md Dawam, cerpen-cerpen Azmir adalah dilihat sebagai rakaman suara batin generasi muda yang berani mengangkat isu kesihatan mental ke dalam ruang sastera tanpa kehilangan nilai estetik atau akademik.

“Setiap karya yang dinobatkan mencerminkan keberanian, ketulenan, dan kebijaksanaan mahasiswa ASTiF dalam mempersembahkan suara masing-masing dari akar budaya hingga ke konflik batin moden.

“Saya harap Kelopak Mawar membuka ruang kepada perbualan lebih jujur tentang kesihatan mental. Kita harus belajar dengar bukan hanya apa yang orang kata, tapi juga apa yang mereka pendam,” ujar Azmir.

Majlis perasmian AdiKarya 2025 yang berlangsung baru-baru ini dirasmikan oleh Sasterawan Negeri Sabah kedua, Azmah Nordin.

 

Universiti Malaysia Sabah (UMS), through its Borneo Marine Research Institute (BMRI), in collaboration with the Ministry of Natural Resources and Environmental Sustainability (NRES), the French Embassy in Malaysia, and eight secondary schools across Sabah, successfully organized a beach clean-up event to promote environmental awareness and sustainable coastal management.

The participating schools included Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura (Sandakan), SMK Tandek (Kota Marudu), SMK Sanzac (Kota Kinabalu), SM St. Michael (Penampang), SM Sains Sabah, SMK Pinawantai (Kudat), SMK Labuan, and SMK Tebobon.

Held at Likas Bay Public Park, the initiative brought together more than 150 volunteers comprising students and staff from UMS, officers from NRES, the Department of Mineral and Geoscience, the Department of Meteorology, and representatives from the French Embassy.

The joint clean-up effort resulted in the collection of approximately 60 bags of waste, weighing a total of 402 kilograms. Items collected included plastic debris, fishing nets, and other non-biodegradable materials.

Deputy Chief Secretary (Development) of NRES, Datuk Nor Yahati Awang emphasized the value of collective action.

“Our beaches are vital ecosystems and heritage sites. We are grateful for the support of UMS, local schools, and the French Embassy, which highlights the international concern for ocean health,” she said.

Dominique Husken-Ulbrich, representing the French Embassy, also acknowledged the commitment of the local community.

“France remains committed to supporting global and local initiatives that align with the Paris Agreement and the Sustainable Development Goals. Today’s clean-up demonstrates the positive impact of cooperation between educational institutions and diplomatic partners.”

Dr. Madihah Jaffar Sidek, Head of UMS’ Marine Science Programme, expressed appreciation to all participants for their dedication to marine conservation.

She noted that the clean-up is part of a broader initiative to instill environmental stewardship and engage youth in conservation across Sabah.

The beach clean-up is one of several activities under BMRI UMS’ annual Ocean Celebration, held in conjunction with World Ocean Day, Coral Triangle Day, and World Sea Turtle Day.

 

Sambutan Ocean Celebration 2025 di Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi satu usaha berterusan universiti bersama pelbagai agensi dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan dan kelestarian lautan yang seharusnya menjadi tanggungjawab semua pihak.

Program anjuran bersama Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Coral Triangle Initiative (CTI) Malaysia menggabungkan tiga sambutan lain, iaitu sambutan Hari Lautan Sedunia, Hari Segitiga Terumbu Karang dan Hari Penyu Laut Sedunia yang diadakan pada bulan Jun setiap tahun.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, ketiga-tiga acara itu menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran berkaitan pemeliharaan lautan dan biodiversitinya.  

“Hari Lautan Sedunia mengingatkan kita tentang kepentingan lautan dalam menyokong kehidupan, kerana ia membekalkan makanan, oksigen dan pelbagai sumber yang tidak ternilai.

“Hari Segitiga Terumbu Karang pula menonjolkan kekayaan biodiversiti kawasan Segitiga Terumbu Karang, iaitu wilayah yang merangkumi enam buah negara: Indonesia, Malaysia, Filipina, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon dan Timor-Leste.

“Bagi sambutan Hari Penyu Laut Sedunia, ini memberi peluang kepada kita untuk lebih menumpukan perhatian terhadap cabaran yang dihadapi oleh penyu laut serta keperluan kritikal untuk melindungi penyu laut dan habitat semula jadi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Perasmian Ocean Celebration 2025 di Galeri Azman Hashim, UMS.

Perasmian acara tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam) NRES, Datuk Nor Yahati Awang.

Tambah beliau, IPMB komited untuk membawa perubahan positif dan meletakkan keutamaan terhadap kelestarian lautan.

“Kami sedang berusaha untuk mencapai matlamat Dekad Sains Lautan untuk Pembangunan Lestari anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Matlamat Inisiatif Segitiga Terumbu Karang (CTI Goals), serta dasar tempatan seperti Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016–2025 dalam usaha memelihara biodiversiti serta habitatnya,” kata Kasim.

Dalam pada itu, Nor Yahati dalam ucapannya menegaskan usaha melindungi dan memulihkan lautan perlu bermula dengan amalan kehidupan lestari oleh setiap individu.

Katanya, walaupun tindakan yang kecil namun apabila dilakukan secara kolektif mampu membawa kepada satu perubahan yang besar.

“Dalam hal ini, kita perlukan kerjasama komuniti, organisasi dan kerajaan dalam mencipta sesuatu yang memberi impak.

“Pendekatan Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian dan kesejahteraan mampu menyumbang secara positif terhadap kesihatan lautan melalui amalan penggunaan bertanggungjawab, pengurangan pencemaran dan pelaksanaan ekonomi pusingan.

“Pelaburan dalam penyelidikan, pembangunan penyelesaian inovatif, penubuhan zon perlindungan marin dan dasar pemuliharaan yang kukuh amat penting untuk diteruskan,” katanya.

Justeru itu, sambutan Ocean Celebration umpamanya telah menyediakan platform kepada masyarakat untuk bersama-sama belajar, meraikan dan memperjuangkan kelestarian lautan.

Sambutan Ocean Celebration 2025 yang bermula sejak 9 Jun hingga 19 Jun itu menyaksikan pelbagai aktiviti dilaksanakan, antaranya Kempen Kesedaran Perubahan Iklim, Pertandingan Fotografi Dasar Laut, Hari Kesedaran Alga, Program Bersama Komuniti Pesisir Kota Belud: Pengimbangan Karbon Biru, dan Pertandingan Memasak Makanan Laut.

Selain itu, turut diadakan Bengkel Kitar Semula (Waste to Worth & Zero Waste), Hari Terbuka Akuarium dan Art Booth, Bengkel Rumpai Laut, Program Pembersihan Pantai, Program SCIMATECH 2025: MarineXplorers, dan Program Professor@School STI 100³.

Hadir sama pada acara perasmian sambutan tersebut Pengarah Jabatan Perikanan Sabah, Datin Dr. Shuhadah Mustapha; Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr. Maklarim Lakim; Timbalan Pengarah (Akademik dan Antarabangsa) IPMB, Prof. Madya Dr. Zarinah Waheed; dan Pengerusi Ocean Celebration 2025, Dr. Archier Chung Fung Chen.