Perjalanan seorang guru dari Tawau, Erni Suliza Basri, menjadi inspirasi apabila beliau berjaya menggengam segulung Ijazah Sarjana dalam pengajian Sarjana Pengurusan Pendidikan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), meskipun berdepan pelbagai cabaran sebagai pelajar separuh masa.

Erni Suliza yang lebih mesra dipanggil sebagai Teacher Erni oleh anak muridnya di Sekolah Kebangsaan St. Patrick Tawau berkongsi bagaimana beliau berulang-alik antara Tawau dan Kota Kinabalu hampir setiap minggu demi menghadiri kelas hujung minggu di UMS.

“Cabaran utama saya ialah masa. Saya seorang guru dan pada masa yang sama saya menyambung pengajian, ada minggu tertentu saya terpaksa terbang ke Kota Kinabalu dua hingga tiga kali sebulan,” katanya sambil mengenang komitmen yang perlu diimbangi.

Beliau bekerjasama dengan pihak pentadbir sekolah untuk menyelaraskan jadual dan tugasan agar beliau dapat meninggalkan sekolah lebih awal bagi mengejar penerbangan ke Kota Kinabalu.

Namun di sebalik pengorbanan itu, terdapat satu sumber kekuatan yang tidak pernah pudar iaitu ibu beliau. Menahan sebak, Erni menyifatkan wanita itu sebagai inspirasi hidupnya.

“Apa sahaja yang saya lakukan adalah untuk ibu saya, ibu saya bukan orang senang dan tidak berpendidikan tinggi tetapi beliau sentiasa berusaha untuk kami adik-beradik.

“Ibu berkata biarlah dia kekurangan, asalkan kami adik beradik berjaya,” ujarnya sambil menahan air mata.

Selain itu, anak murid Erni turut menjadi pendorong utama beliau. Setiap minggu sebelum berangkat ke kelas di UMS beliau akan memohon maaf kepada muridnya kerana terpaksa pulang awal untuk mengejar penerbangan. Namun reaksi muridnya sering menyentuh hati.

“Dorang terkejut, teacher pun belajar macam kami?” katanya sambil tersenyum.

Bagi Erni, kecintaan terhadap ilmu membuatkan segala penat lelah tidak terasa dan berasa teruja setiap kali menghadiri kelas.

Dalam perjalanan kerjayanya, Erni pernah menerima beberapa pengiktirafan termasuk Tokoh Anti Dadah peringkat kebangsaan. Namun bagi beliau, pencapaian terbesar adalah menjadi guru yang lebih baik setiap hari.

Selepas menamatkan sarjananya, Erni kini merancang untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD di UMS, institusi yang dekat di hatinya.

“Saya bukan saja jatuh cinta dengan bidang ilmu, tapi dengan para pensyarah dan komuniti UMS sendiri. Walaupun kami pelajar separuh masa, hubungan kami rapat seperti keluarga,” katanya.

 

Detik konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjadi lebih bermakna buat Chelsea Cassiopea Evali Bopulas, apabila pemenang dua pingat emas di Kejohanan Asian University Games (AUG) 2024 itu akhirnya menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Psikologi (Psikologi Kanak-Kanak dan Keluarga).

Chelsea yang merupakan anak jati Penampang menzahirkan rasa syukur yang mendalam selepas berjaya menamatkan pengajian, meskipun perjalanan akademiknya mengambil masa lebih panjang daripada yang dirancang.

“Saya amat bersyukur dan gembira kerana selepas menambah setahun lagi tempoh pengajian, akhirnya saya berjaya menamatkannya,” katanya

Mengimbau perjalanan sebagai pelajar dan atlet, beliau mengakui sepanjang tempoh pengajian di UMS dipenuhi cabaran terutamanya dalam mengimbangi latihan intensif dan tugasan akademik.

“Pada tahun pertama, saya sangat tertekan kerana terlalu banyak tugasan yang perlu disiapkan.

“Dalam masa yang sama, saya juga perlu menghadiri latihan serta kelas dalam talian, sehinggakan saya sukar memberi tumpuan sepenuhnya.

“Namun, rakan-rakan seperjuangan sentiasa memberi sokongan tanpa jemu, walau berapa banyak soalan yang saya ajukan, mereka tetap sabar menerangkan sehingga saya benar-benar faham, menjadikan setiap cabaran terasa lebih ringan,” katanya.

Beliau berkata dua figura menjadi inspirasi utamanya iaitu lagenda skuasy negara, Datuk Nicol Ann David, serta jurulatihnya sendiri yang banyak membimbingnya dalam dan luar gelanggang.

Penerima Anugerah Olahragawati MAHEPA ke-26 UMS itu turut mengakui pernah melalui detik hampir berputus asa.

“Perasaan itu muncul hampir setiap semester, tetapi apabila saya teringat bagaimana saya berjaya mengharungi semester sebelumnya, saya yakin saya mampu meneruskan langkah seterusnya.

“Mengurus masa sudah menjadi kebiasaan sejak tingkatan enam, dan yang penting ialah disiplin untuk menepati jadual,” katanya.

Kecemerlangan Chelsea turut terserlah di peringkat antarabangsa apabila beliau mewakili negara dalam pelbagai kejohanan, termasuk World University Games 2025 di Jerman, di mana beliau layak ke pusingan lapan terbaik kategori 4x400 meter wanita.

Beliau juga akan mewakili Malaysia dalam acara 400 meter, 4x400 meter wanita dan 4x400 meter campuran pada Sukan SEA 2025 yang berlangsung di Thailand pada 09 – 20 Disember depan.

 

Ketabahan seorang graduan OKU Universiti Malaysia Sabah (UMS) terserlah melalui kisah perjalanan hidupnya yang penuh cabaran sehingga berjaya menggenggam segulung ijazah.

Jerald Jaudy ST, 25, berasal dari Kota Belud merupakan graduan OKU yang pernah mengalami serangan angin ahmar ketika berusia 13 tahun, menyebabkan sebahagian fizikalnya terjejas.

Walau bagaimanapun, kekangan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk belajar, bersukan dan mengejar kerjayanya.

“Saya rasa cabaran yang paling besar untuk diri saya adalah kekangan masa dan juga dengan tubuh badan yang tidak seperti orang normal.

“Itu memberi kesan yang tidak besar tapi memberi kesan juga kepada saya untuk datang ke sini kerana tidak boleh dapat lesen untuk memandu,” tambahnya lagi.

Kini, beliau sudah memiliki lesen memandu sendiri yang merupakan satu simbol kejayaan peribadi dalam mengatasi batasan fizikal.

Beliau turut mengakui perjalanan akademiknya lebih mencabar berbanding pelajar lain, namun sumber kekuatan utamanya datang daripada keluarga serta diri sendiri.

“Saya rasa benda yang paling mendorong adalah ibu bapa saya dan juga diri sendiri yang yang sentiasa push untuk terus maju,” jelasnya.

Selain sebagai pelajar, beliau juga merupakan atlet para badminton Sabah dan menurutnya nilai kesukanan banyak membantu dalam ketahanan dari segi mentalnya.

“Saya mengekalkan semangat kerana saya merupakan seorang atlet para. Dan seorang atlet itu tidak ada kata menyerah dalam hidupnya,” katanya

Sepanjang tempoh pengajian, beliau turut menjadikan rakan seperjuangan sebagai sumber inspirasi terhadap dirinya, sambil menunjukkan semangat yang tinggi dalam menimba ilmu.

Selain daripada itu, beliau pernah menjalani rawatan rehabilitasi di Hospital Queen Elizabeth sebelum menjadi atlet para.

Kejayaan beliau membuktikan bahawa ketabahan dan semangat yang tinggi dapat mengubah kekuatan sekaligus menjadi inspirasi kepada pelajar OKU dan masyarakat umum untuk terus berusaha mencapai impian tanpa mudah putus asa.

 

(artikel disediakan oleh Siti Norerma Shahiera Binti Sulaiman, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)

 

Status orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda bukan satu halangan buat Nursahara Ali Hassan, 23, yang kini bergelar graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Nursahara, yang juga merupakan mantan Presiden Kelab Mahasiswa OKU UMS Sesi 2024/2025 itu merasa sangat gembira kerana berjaya menamatkan pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial pada tahun ini.

“Saya gembira kerana saya tidak sangka akan dapat habiskan tiga tahun ini tepat pada masanya, tanpa perlu mengulang semula peperiksaan,” jelasnya.

Nursahara terpaksa menggunakan kerusi roda selepas menjalani pembedahan tulang belakang yang disebabkan oleh scoliosis.

Selama belajar di UMS, Nursahara mengakui beliau mengalami pelbagai cabaran, tetapi bantuan daripada orang sekeliling banyak membantu beliau dalam menghabiskan pengajiannya.

“Mula-mula masuk UMS dulu, saya tidak tahu pun tentang Ijazah Kerja Sosial, tapi lepas masuk, baru saya tahu kursus ini memerlukan saya untuk kerap keluar dan bersosial dengan orang ramai.

“Saya ingat saya tidak mampu untuk teruskan kerana saya berkerusi roda, tetapi dorongan dan sokongan ramai buat saya bertahan sehingga kini,” katanya lagi.

Nursahara turut menjelaskan kebimbangan keluarganya ketika dia ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

“Dari tingkatan enam lagi keluarga saya sangat risau akan keadaan saya semasa belajar nanti.

“Mereka risau saya akan rasa terbeban,” tambahnya lagi.

Setelah melihat semangat dan minat Nursahara untuk meneruskan pengajian, mereka akhirnya bersetuju dan memberikan sokongan penuh.

Nursahara merupakan antara 265 graduan FPKS yang menerima skrol ijazah daripada Pro-Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim.

 

(artikel disediakan oleh Nadhirah Humaira Binti Muhammad Nahji, Pelajar Tahun Tiga Program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)

 

 

KOTA KINABALU: Pro Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Tan Sri Azman Hashim, menekankan bahawa isu rasuah yang semakin meruncing dalam negara perlu ditangani secara tegas melalui pembentukan nilai murni dan integriti dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda yang bakal menerajui kepimpinan negara.

“Pencapaian akademik yang tinggi semata-mata tidak menjamin kemajuan sekiranya tidak disertai nilai kejujuran, akauntabiliti, disiplin dan rasa tanggungjawab.

“Ini kerana sesebuah negara hanya mampu berkembang apabila rakyatnya memiliki karakter yang seimbang dan beretika,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada hari kedua, sempena Majlis Konvokesyen UMS kali ke-27 pada Isnin.

Menurut Azman, budaya negatif kini semakin diterima sebagai kebiasaan yang melambangkan normalisasi perbuatan tidak bermoral dalam kehidupan seharian.

“Saya ingin menegur sikap segelintir pihak yang tanpa rasa malu menonjolkan kemewahan daripada kereta berjenama dan kediaman besar hinggalah percutian ke luar negara.

“Apabila rasuah menjadi amalan dalam sistem, kepercayaan rakyat akan hilang dan negara akan menghadapi kemerosotan berpanjangan,” tambahnya.

Azman turut menekankan bahawa amalan “Zero Tolerance” yang tegas dapat melahirkan masyarakat dan kerajaan yang bersih.

Justeru, beliau menyeru agar pendekatan serupa diterapkan di semua peringkat meliputi institusi pendidikan, syarikat korporat, jabatan kerajaan dan komuniti bagi memastikan negara dapat keluar daripada budaya rasuah yang sudah lama membelenggu masyarakat.

“Kita mesti berani berkata tidak kepada rasuah. Perbuatan salah tetap salah, walau sekecil mana pun,” tegasnya.