KHAMIS, 12 OKTOBER – Seramai 409 peserta menjayakan program Run & Ride Charity Integrity 2017 anjuran Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa (SRIM) Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Bertempat di Dataran Padang Kawad UMS, program julung kalinya itu telah menerima penyertaan beberapa organisasi berbasikal tempatan, antaranya Gabungan Basikal Likas (GBL) dan Unggun Cycling Club Kota Kinabalu, selain penyertaan pelajar kokurikulum basikal UMS, warga UMS serta orang awam.

Program duathlon yang berorientasikan basikal dan larian itu bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang cergas dan aktif, selain menjadi medium untuk mengumpul dana bagi Tabung Amanah Orang Kurang Upaya (OKU) UMS.

Hasil daripada program tersebut, pihak penganjur berjaya mengutip dana sebanyak RM2,646 yang kemudiannya diserahkan kepada wakil Bahagian Kebajikan dan Kewangan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UMS, Ahirunnisham Ahmad.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali dalam ucapan perasmian program itu berkata, program tersebut mampu memberi impak positif kepada peserta dalam memupuk nilai-nilai murni melalui aktiviti sukan.

“Program sebegini wajar dilaksanakan kerana mampu memupuk sikap integriti dalam kalangan siswa siswi, dan diharap akan ada kesinambungan bagi program ini pada masa akan datang agar nilai-nilai murni terus dapat disemai dalam diri setiap insan,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Pegawai Belia dan Sukan, Charles Thomas.

Program itu turut diserikan dengan persembahan daripada Kelab Lentera Tari, Kolej Kediaman Excellent, UMS.

 

Sumber: Jabatan Hal Ehwal Pelajar

KHAMIS, 12 OKTOBER – Program pencegahan dadah perlu dikaji dan diberi suntikan idea baru bagi memastikan gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan kumpulan sasar dapat dikurangkan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Dr. Shahril Yusof berkata, program pencegahan sedia ada dilihat belum memadai untuk mengurangkan statistik kes berkaitan gejala dadah di negara ini.

“Untuk itu, pelajar Pascasiswazah UMS khususnya perlu mencari alternatif baru bagi mewujudkan satu program pencegahan yang lebih efektif dengan menumpukan kepada kumpulan sasar yang berisiko untuk terdedah  kepada penyalahgunaan dadah.

“Hasil kajian itu nanti mampu diketengahkan kepada agensi berkaitan untuk tujuan pencegahan sekali gus membantu kerajaan dalam menangani isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Interaktif Peringkat Kebangsaan: Kaunseling dan Penyalahgunaan Dadah, Smart Sharing Programme (SHARP) 2017 di Dewan Resital UMS.

Beliau menambah, pelajar tidak seharusnya takut untuk gagal dalam kajian yang dijalankan, sebaliknya terus memberi cadangan program pencegahan yang boleh memberi manfaat kepada kumpulan sasar.

Terdahulu, Dekan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Prof. Dr. Mohd Dahlan A Malek berkata, seminar tersebut adalah program tahunan yang bertujuan untuk memberi pendedahan tentang punca dan kesan penyalahgunaan dadah.

Di samping itu, seminar itu turut memberi kefahaman mengenai kaedah sesuai dalam membasmi penyalahgunaan dadah serta mengenal pasti usaha bersesuaian untuk membasmi gejala tersebut.

Seminar anjuran pelajar Pascasiswazah Program Sarjana Psikologi Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) SPADA itu berlangsung selama dua hari sehingga hari ini.

RABU, 11 OKTOBER – Siri syarahan Majlis Profesor Negara  (MPN) Chapter Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menyentuh isu hak asasi manusia kelmarin mendapat perhatian siswa-siswi UMS yang berpeluang untuk mendalami pelbagai isu berkaitan hak asasi daripada pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Syarahan bertajuk “Hak Asasi Manusia di Malaysia dan Rantau ASEAN” yang disampaikan oleh Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail memfokuskan mengenai pendekatan dan kedudukan Malaysia dalam aspek hak asasi manusia di rantau ini.

Syarahan tersebut turut menyentuh perbincangan berkaitan isu-isu seperti kemasukan pendatang dan pelarian ke negara ini, pelaksanaan hukum hudud di Malaysia,  dan hak asasi bagi golongan Lesbian, Gays, Bisexsuals dan Transgender (LGBT) dalam sesi soal jawab  bersama pelajar.

“Saya amat gembira dengan respons positif para pelajar yang berminat mendalami isu-isu hak asasi manusia.

“Ini bermakna pihak SUHAKAM perlu memainkan peranan lebih besar dalam memberi lebih pendedahan dan pengetahuan kepada siswa-siswi universiti khususnya di UMS berkaitan isu-isu sebegini,” katanya.

Tambah beliau, Sabah merupakan sebuah negeri yang menjadi contoh terbaik dalam aspek keharmonian antara kaum serta penghormatan masyarakatnya terhadap hak asasi setiap individu.  

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Shahril Yusof, Prof. Datuk Dr. Hj Kasim Md Mansur sebagai moderator, dan Pengerusi MPN-Chapter UMS, Prof. Dato’ Mohd Hamdan Adnan.

 

Foto: Musaab Umair

 

SELASA, 10 OKTOBER – Belia di negara ini disaran agar mencontohi semangat keusahawanan koperasi yang ditonjolkan oleh belia luar negara bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan berkata, belia dan komuniti setempat menerusi koperasi di luar negara bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk menjadi penyedia kepada pelbagai keperluan dan perkhidmatan asas seperti perumahan, pengangkutan, utiliti, pendidikan serta penjagaan kanak-kanak.  

“Koperasi belia di Eropah telah membuktikan bahawa koperasi bukanlah badan amal tetapi organisasi ekonomi yang menekankan prinsip self help dan solidarity untuk mengatasi pelbagai isu disebabkan peningkatan kos sara hidup terutama dalam kalangan pelajar institusi pendidikan tinggi.

“Koperasi memerlukan sentuhan inovasi daripada golongan belia bagi memberi nafas baharu kepada gerakan koperasi di Malaysia agar dapat merangsang pertumbuhan ekonomi yang dinamik, yang sekali gus bukan sahaja mampu menstabilkan ekonomi malahan turut menawarkan kestabilan sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Masiung Banah sempena Majlis Perasmian Seminar Koperasi 2017: “Belia Tonggak Masa Depan Pembangunan Negara” di Dewan Auditorium Pascasiswazah, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ujar beliau, keperluan memperkasa penglibatan belia di dalam koperasi semakin ketara bagi menangani pelbagai cabaran pada masa ini seperti isu pengangguran dan kekurangan peluang pekerjaan.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin dalam ucapannya berkata, pihak UMS sangat menggalakkan pelajar untuk terlibat di dalam koperasi, dengan penubuhan koperasi di peringkat institusi penggajian tinggi juga mampu mendatangkan faedah kepada pelajar dalam mempraktikkan ilmu yang diperolehi di bilik kuliah, mempelajari selok belok pengurusan, pentadbiran, operasi perniagaan selain melatih ‘soft skills’ pelajar.

“Oleh itu, saya berharap penubuhan koperasi pelajar institusi pengajian tinggi (ko-siswa UMS) dapat ditubuhkan secepat mungkin kerana ia dapat membantu para pelajar untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan lebih awal sebelum menjejak ke dunia luar,” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof. Dr. Ismail Ali.

Hadir sama pada majlis tersebut Pengerusi Lembaga Pengarah Majlis Koperasi Malaysia (MKM), Datuk Mohd Yusof Kasim, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Umar Sarim dan Pengarah MKM Zon Sabah, Christopher John Baptist.

ISNIN, 09 OKTOBER - Masyarakat di Sabah khususnya generasi muda diminta mengambil peluang dalam sektor pelancongan yang kini terus berkembang dengan pesat di negeri ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Pang Yuk Min berkata, adalah satu kelebihan untuk masyarakat di negeri ini untuk menceburkan diri dalam sektor tersebut kerana Sabah menunjukkan peningkatan kehadiran pelancong yang memberangsangkan pada setiap tahun.

“Justeru, peluang yang terhidang ini perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya apatah lagi sektor ini mampu memberikan pulangan yang baik kepada setiap pengusahanya,” kata beliau.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Tourism Day: Inspiring Youth Future Careers in the Tourism Industry, di Dewan Resital hari ini.

Menurut Datuk Pang, bumi Sabah sangat bertuah kerana dikurniakan dengan pelbagai destinasi alam semula jadi menarik yang sukar ditandingi oleh negara-negara lain.

“Dari Gunung Kinabalu, hingga ke pantai dan pemandangan dasar laut, kita juga mempunyai  ekosistem  flora dan fauna yang boleh dinikmati bukan sahaja melalui pandangan mata malah mengalami sendiri suasana yang ada.

“Oleh itu, saya menyeru kita semua khususnya generasi muda untuk mengambil peluang yang sudah ada di depan mata ini dengan sebaik mungkin,” tambahnya.

Program sehari itu merupakan anjuran Kelab Pelancongan UMS yang bernaung di bawah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).

Program yang turut disertai pelajar dari Almacrest College, Monfort College, Maktab Sabah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kolombong itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, Datuk Seri Tengku Zainal Adlin Tengku Mahamood dan Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Noordin mewakili Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. D Kamarudin D Mudin.

 

Foto: Musaab Umair