ISNIN, 22 MEI - Bangunan baharu Pusat Penyelidikan dan Inovasi (PPI) dan juga Pusat Instrumentasi dan Perkhidmatan Sains (PIPS) bakal memenuhi keperluan kakitangan akademik di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah berkata, pembinaan bangunan itu membuktikan komitmen UMS bagi meningkatkan lagi taraf penyelidikan dan inovasi terutama golongan akademik di universiti itu.

“Dalam konteks ini, UMS meletakkan fokus sama rata dalam soal memenuhi keperluan pendidikan dan penyelidikan dalam kalangan kakitangan bagi meningkatkan lagi budaya penyelidikan dan inovasi di UMS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kunci bangunan berkenaan baru-baru ini.

Datuk Harun berkata, cetusan idea pembinaan bangunan kompleks penyelidikan yang merangkumi bangunan makmal bersepadu itu bermula pada tahun 2013. 

“Jabatan Pembangunan dan Penyelengaraan (JPP) UMS dan PPI kemudiannya telah bertungkus lumus untuk memastikan idea ini menjadi kenyataan, dan akhirnya ia diluluskan sekali gus pada hari ini, akhirnya bangunan ini siap.

“Untuk makluman, ini merupakan antara projek yang dibuat oleh JPP sendiri dengan izin Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Kerja Raya (JKR). Syabas saya ucapkan kepada JPP dan PPI serta PIPS dan semua pihak yang terlibat,” ujar Datuk Harun.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Shahril Yusof; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. D. Kamarudin D. Mudin dan Ketua Jabatan Canselori, Darwis Awang.

 

 

 

ISNIN, 22 MEI - Penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mempamerkan pelbagai pencapaian melalui pengiktirafan dalam penyertaan pameran penyelidikan bertaraf antarabangsa.

Terbaru, UMS sekali lagi berjaya meraih dua pingat emas dan empat perak dalam Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2017 yang berlangsung tiga hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pingat emas pertama diraih oleh penyelidik Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan  UMS, Dr. Takashi Kamada melalui inovasi beliau yang bertajuk “SYZYGIUM: New Anti-Fungal Nutraceuticals”.

Manakala, Dr. Chee Fuei Pien daripada Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) menyumbang pingat emas kedua UMS dengan inovasi bertajuk “Eye Tracking Electronic Wheel Chair for Physically Challenged Person”.

Penyampaian pingat emas tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Wira Dr. Abu Bakar Mohamad Diah pada hari kedua sempena Malam Budaya Cipta.

Dr. Takashi Kamada turut mencatat nama sebagai penerima anugerah pingat perak melalui inovasi bertajuk “Novel Anti-Adult T-Cell Leukemia Drug from Bornean Red Alga Laurencia majuscula”.

Dengan inovasi bertajuk ”SSA-GIS (School Suitability Analysis Using Geographic Information Systems)”, turut bersama Dr. Takashi menyumbang pingat perak ialah Dr. Gaim @ James Lunkapis dari Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan (FKSW).

Dua pingat pingat perak selebihnya pula diraih oleh penyelidik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Prof. Madya Dr. Maher Fouad Sefein Beshay melalui dua inovasi beliau iaitu, “Portable Capturing System for Nystagmus (PCSN)” dan “Window to the World (An Interactive Model for Extraocular Muscles”.

Pameran pertandingan inovasi dan teknologi ini merupakan pameran tahunan anjuran Malaysian Invention and Design Society (MINDS).

Bertemakan “Inventing for a Better World”, ITEX 2017 mempamerkan lebih 1,000 rekacipta daripada peserta pelbagai negara merangkumi Korea Selatan, Arab Saudi, Iran, Thailand, Poland, Egypt, Kuwait, Bahrain, Indonesia, Taiwan selain tuan rumah Malaysia.

 

Sumber; Pusat Penyelidikan dan Inovasi

 

JUMAAT, 19 MEI - Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberikan hak pengkomersialan produk Technology of the Production of Amplang dan Technology of the Production of Premium Dried Seaweed  kepada Madolin Technology (M) Sdn. Bhd. melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani di Bilik Mesyuarat Lembaga Eksekutif UMS hari ini.

Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, usaha ini sememangnya amat bermakna bagi UMS dalam memperluas kolaborasi khususnya usaha pengkomersialan produk penyelidikan yang dibangunkan oleh penyelidik-penyelidik UMS.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada kumpulan penyelidik daripada Fakulti Sains dan Sumber Alam yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Suhaimi Md. Yasir di atas komitmen jitu dalam membangunkan produk rumpai laut ini yang diyakini mempunyai nilai komersial yang tinggi,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Sharil Yusof.

Datuk Harun berkata, melalui jaringan kerjasama itu sudah pasti memberikan manfaat serta kelebihan dalam menyemarakkan dan menjayakan agenda inovasi demi kepentingan bersama.

“Sebagai makluman, syarikat Madolin Technology (M) Sdn. Bhd. telah diberi hak perlesenan secara eksklusif untuk mengeluarkan, memasarkan dan mempromosikan produk ini di Malaysia, Jepun dan rantau Asia Tenggara.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Madolin atas kesudian mengadakan perjanjian, dan harapan saya semoga perjanjian yang dimulakan hari ini akan memacu deras usaha kita menjadi sebuah universiti berinovatif  dan mengangkat martabat UMS di mata dunia,” ujar beliau lagi.

Prof. Sharil menandatangani MoA bagi pihak UMS, manakala Madolin Technology (M) Sdn. Bhd. diwakili Pengerusi Eksekutif, Bairullah Dumpas.

Pemeteraian MoA itu turut disaksikan Prof. Madya Dr. Suhaimi Md. Yasir dan Ketua Jabatan Canselori UMS, Darwis Awang.

JUMAAT, 19 MEI – Program Inovasi Sosial MOSTI Ops Jelajah Cyber anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui CyberSecurity Malaysia mampu meningkatkan tahap kesedaran serta pengetahuan asas teknikal kepada masyarakat dalam bidang keselamatan siber.

Ketua Pegawai Teknologi CyberSecurity Malaysia, Dr. Solahuddin Shamsuddin berkata, program itu turut menyediakan peluang kepada komuniti setempat menjana ekonomi melalui program keusahawanan yang ditawarkan.

“Selain perkhidmatan pemulihan data, sanitasi data dan perkhidmatan berkaitan keselamatan siber, Ops Jelajah Cyber juga turut memperkenalkan Program Pembangunan Keusahawanan atau Entrepreneurship Development Program MyCyberSecurity Clinic (MyCSC).

“Program ini dibangunkan sebagai ‘touch point’ antara kerajaan dan rakyat dalam menangani isu keselamatan siber serta masalah berkaitan forensik digital, sekali gus menjadi pemangkin kepada bidang keusahawanan berteraskan teknologi keselamatan siber,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian program tersebut, yang disempurnakan Pengerusi PUSPANITA Cawangan Sabah, Puan Sri Hairani Hussaini di Bilik Kuliah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi (PPST), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ujar beliau, dengan bantuan teknikal dan sokongan program yang disediakan, ia diharap dapat melonjakkan aktiviti perniagaan dan meningkatkan status ekonomi usahawan tempatan di Malaysia.

Terdahulu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, penganjuran program tersebut memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa dunia telah berubah menjadi digital dan masyarakat perlu memperkasa diri dengan menimba ilmu berkaitan kehidupan yang serba digital.

“Sehubungan itu, saya menyarankan agar orang ramai dapat datang beramai-ramai ke program ini, serta mengambil manfaat daripadanya, kerana ilmu yang bakal diperoleh dapat menjadi bekalan yang terbaik bagi mendepani isu-isu semasa yang berkaitan dengan alam siber di negara ini.

“Dengan ini, kita akan menjadi lebih peka terhadap apa juga gejala yang melanda, melalui ancaman siber dengan penuh kesiapsiagaan dan menanganinya dengan lebih bijaksana, berhemah dan bertanggungjawab,” ujar beliau.

Lebih 250 peserta hadir dalam program yang berlangsung selama dua hari itu.

 

JUMAAT, 19 MEI - Pengguna alam siber diingatkan agar sentiasa mengamalkan integriti dalam setiap aktiviti di laman sosial.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Dato’ Abdul Majid Mohd Ali, pengguna laman sosial harus sentiasa meneliti sesuatu berita mahupun cerita sebelum memajukan kepada orang lain.

“Kita bimbang bila perkara yang disampaikan itu tidak benar atau tidak tepat, ia akan mengundang fitnah kepada orang lain dan ianya sangat tidak berintegriti,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Integriti di Alam Siber’ sempena program Ops Jelajah Siber yang dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertempat di Pusat Persediaan Sains Teknologi (PPST) Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tambah beliau, jenayah siber boleh menjadi ancaman kepada keluarga sekiranya masyarakat lalai dan terlalu berkongsi maklumat di media sosial seperti melalui aplikasi Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Sementara itu, ceramah bertajuk ‘Internet Safety for Women’ yang disampaikan oleh wakil daripada Cyber Security Malaysia, Izwadee Hamzah menasihatkan golongan wanita agar tidak manjadi mangsa pelbagai scam seperti Love Scam, Parcel Scam, African Scam dan sebagainya.

“Banyak kes yang dilaporkan melibatkan golongan wanita yang mengalami kerugian beratus ribu ringgit akibat tertipu dengan pelbagai scam.

“Melalui ceramah ini, saya berharap golongan wanita lebih peka dan dapat membezakan dengan lebih jelas tentang ancaman jenayah siber,” katanya.

Menurut beliau, dilaporkan 60 peratus jenayah siber yang terjadi adalah disebabkan oleh kelalaian pengguna siber itu sendiri.

“Pastikan anda membuat Data Sanitation untuk telefon bimbit atau komputer anda bagi mengelak daripada terjadinya ugutan jenayah siber,” ujar beliau.

Lebih 250 peserta program menghadiri ceramah tersebut yang terdiri daripada ahli Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Sabah,  Kelab Surirumah dan Staf Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA), serta para pelajar dan kakitangan UMS.