KHAMIS, 08 SEPTEMBER - Seramai 100 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Persidangan Perniagaan Antarabangsa Borneo (IBBC) kali ke-7 yang bermula kelmarin.
Bertempat di Bankuasi, Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), persidangan itu merupakan anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).
Majlis perasmiannya disempurnakan Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Nordin.
Dalam ucapannya beliau mengalu-alukan kehadiran semua peserta dan mengharapkan persidangan tersebut dapat memberi input dan output yang bermanfaat melalui perkongsian ilmu dan pembentangan kertas kerja.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada tiga panel yang menjayakan perbincangan bertajuk “Business Opportunities in Challenging Environment”.
Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Mohd Hasnol Mohd Datuk Ayub, Ketua Eksekutif Lembaga Pelaburan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDIA), Datuk Dr. Mohd Yaakub Hj Johari dan Pensyarah FPEP, Prof. Dr. Syed Azizi Wafa Syed Khaled Wafa.
Persidangan tersebut berlangsung selama dua hari sehingga hari ini.