JUMAAT, 26 OGOS Program Daycare Pusat Minda Lestari (PML) dengan kerjasama Perpustakaan Universiti Malaysia Sabah telah menganjurkan pertandingan mewarna sempena bulan kemerdekaan baru-baru ini.

Bertempat di Bilik Koleksi Kanak-Kanak Perpustakaan UMS, pertandingan ini antara lain bertujuan memupuk semangat cintakan negara dalam kalangan murid-murid Daycare PML.

Pertandingan tersebut terbahagi kepada tiga kategori iaitu peringkat 4 tahun, 5 tahun dan 6 tahun.

Bagi kategori 6 tahun, johan disandang oleh adik Ahmad Nadzhan Adzraei Hasmadi, manakala adik Nurul Hannan Dammed dan adik Mohd Fauzan Harith masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.

Kategori 5 tahun pula menyaksikan adik Nurul Junainah Muhammad Naseef muncul johan, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh adik Nurul Safiyyah Zahira Mayga dan adik Aryan Hasif Lai Latif Lai.

Adik Irsyad Ruzaini Bin Rahmat pula muncul johan bagi kategori 4 tahun, manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing dimenangi adik Amanda Alisha Mohd Hilmey dan adik Aisyah Humaira Mustapha.

Pertandingan sebegini giat dijalankan oleh PML bagi memberi peluang terhadap perkembangan sosio emosi murid, selain memperkembangkan daya intelek dan melatih perkembangan motor halus ke arah perkembangan yang lebih baik.

Sumber: Pusat Minda Lestari UMS

KHAMIS, 08 SEPTEMBER - Seramai 100 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Persidangan Perniagaan Antarabangsa Borneo (IBBC) kali ke-7 yang bermula kelmarin.

Bertempat di Bankuasi, Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), persidangan itu merupakan anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP).

Majlis perasmiannya disempurnakan Dekan FPEP, Prof. Madya Dr. Raman Nordin.

Dalam ucapannya beliau mengalu-alukan kehadiran semua peserta dan mengharapkan persidangan tersebut dapat memberi input dan output yang bermanfaat melalui perkongsian ilmu dan pembentangan kertas kerja.  

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada tiga panel yang menjayakan perbincangan bertajuk “Business Opportunities in Challenging Environment”.

Mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Datuk Mohd Hasnol Mohd Datuk Ayub, Ketua Eksekutif Lembaga Pelaburan dan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDIA), Datuk Dr. Mohd Yaakub Hj Johari dan Pensyarah FPEP, Prof. Dr. Syed Azizi Wafa Syed Khaled Wafa.

Persidangan tersebut berlangsung selama dua hari sehingga hari ini.

KHAMIS, 8 SEPTEMBER – 89 orang pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) Sesi 2016/2017 dari kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menerima bantuan kebajikan dalam satu majlis di Galeri Majlis, pagi tadi.

Penyampaian bantuan tersebut disempurnakan oleh Penaung Yayasan Nur Jauhar, Toh Puan Datuk Seri Panglima Norlidah Tan Sri Datuk RM Jasni.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah ketika berucap pada majlis tersebut menyeru agar para pelajar tidak menjadikan kemiskinan keluarga sebagai satu alasan untuk tidak meneruskan pengajian, sebaliknya memanfaatkan peluang menyambung pengajian di UMS sebagai landasan bagi memperbaiki kehidupan diri dan keluarga.

“Jadikan kesusahan sebagai baja untuk menyuburkan semangat dan azam untuk terus berjaya dalam hidup, dan jangan cepat mengalah ketika kita berada di bawah kerana sudah pasti dengan usaha berterusan, kita juga mampu berada di atas.

“UMS sentiasa sedaya-upaya berusaha untuk membantu anda menggapai apa yang diimpikan. Justeru, luruskan haluan, tegarkan tekad dan sinarilah harapan kedua-dua ibu bapa yang ingin melihat anda menjadi seorang insan berjaya,” katanya.

Beliau turut berharap agar sumbangan yang diberikan mampu menampung perbelanjaan harian sementara menunggu pinjaman pengajian atau biasiswa.

“Gunakanlah bantuan kewangan dengan bijak dan buatlah pembelian peralatan yang bermanfaat untuk pelajaran,” ujar beliau.

UMS melalui program “MENITI”, atau singkatan daripada “Merobah Idea Menjadi Realiti” sejak tahun 2013 menawarkan 100 tempat setiap tahun kepada calon pelajar yang tinggal di pedalaman Negeri Sabah dengan kadar pendapatan keluarga di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa iaitu sebanyak RM1,170.00 di Sabah. -MA-

RABU, 07 SEPTEMBER - 14 alumni dari setiap fakulti di Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil bahagian dalam Program Bersama Alumni Anda sempena Minggu Suai Mesra (MSM) sesi 2016/2017 baru-baru ini.

Pengarah Pusat Alumni UMS, Mohd Raffie Hj Janau berkata, program itu bertujuan sebagai medan perkongsian para alumni yang telah berjaya dalam bidang masing-masing untuk berkongsi pengalaman ketika bergelar sebagai mahasiswa UMS dahulu.

”Alumni yang dijemput itu terdiri daripada usahawan, jurutera, pengurus sumber manusia, timbalan pengarah, ahli geologi, pensyarah, pengurus kualiti makanan dan yang berkaitan dengan fakulti masing-masing.

”Menerusi usaha ini, para alumni memberi suntikan semangat kepada pelajar baharu agar tidak mensia-siakan peluang yang ada dan fokus dalam menamatkan pengajian dengan jayanya sekali gus meraih segulung ijazah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program tersebut merupakan acara tahunan anjuran Pusat Alumni yang telah dimulakan pada MSM sesi 2015/2016.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Madya Dr. Ismail Ali turut menyatakan sokongan penuh ke atas aktiviti anjuran Pusat Alumni dan berbangga dengan kejayaan alumni-alumni UMS.

”Mereka juga telah berkongsi idea dan memberi nasihat kepada pelajar baharu mengenai prospek kerjaya selepas menamatkan pengajian dengan mengaitkan kursus serta kurikulum yang diajar di universiti yang boleh diaplikasikan di alam pekerjaan,” katanya.

Untuk rekod, Pusat Alumni mengambil pendekatan tersebut bagi menanam rasa kepunyaan (sense of belonging) dalam kalangan pelajar kepada alma mater bermula hari pertama menjejakkan kaki di UMS dan bukannya hanya dijejaki setelah mereka bergelar alumni.

Sumber: Dayangku Rozlina Pg. Aliuddin, Pusat Alumni

RABU, 07 SEPTEMBER – Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UMS, Tun Dato’ Seri Zaki Tun Azmi menasihatkan pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) supaya menguasai Bahasa Inggeris bagi memudahkan mereka memahami pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang diajar pensyarah di bilik kuliah.

Malah, beliau juga mahu mereka menguasai dan mempelajari bahasa antarabangsa yang lain termasuk Bahasa Mandarin, Jepun dan India serta Arab.

“Kalau kita menguasai lebih banyak bahasa, lebih mudahlah kita berinteraksi dengan masyarakat antarabangsa selain memahami pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 600 pelajar baharu UMS Labuan pada Majlis Ramah Mesra Pengerusi LPU UMS Bersama Pelajar Baharu UMS Labuan Sesi 2016/207 di Dewan Kuliah Pusat (DKP) kelmarin.

Turut hadir Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof Madya Dr Ismail Ali, Pendaftar UMS, No’man Datuk Haji Ahmad dan Pengarah UMSKAL, Prof Madya Dr Murnizam Haji Halik.

Pada majlis itu, Tun Zaki berkongsi pengalaman mengenai kerjaya seorang hakim dan memberikan pandangan beliau mengenai ekonomi negara.

Tun Zaki tidak lupa mengingatkan pelajar baharu supaya sentiasa meningkatkan prestasi pembelajaran mereka ke arah lebih cemerlang.

Sumber: Azri Onn, UMSKAL