JUMAAT, 2 SEPTEMBER – Siswa-siswi baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS) diingatkan agar mematuhi akta, perlembagaan, peraturan dan tatatertib seperti yang dikuatkuasakan di universiti.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Mohd Harun Abdullah berkata, pematuhan ini bukanlah bertujuan untuk menyekat kebebasan, tetapi untuk membentuk para pelajar supaya berdisiplin dan tidak mendatangkan masalah terhadap mana-mana pihak.

“Elakkanlah diri daripada mengikuti sebarang bentuk aktiviti yang mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat dan negara.

“Jangan mudah terpengaruh atau mengikut-ikut anasir luar yang belum tentu agendanya, kerana semua ini hanya akan merosakkan masa depan anda.

“Apabila sibuk menyertai kegiatan sebegini, maka pelajaran pun akan terabai kerana fokus anda sudah menyimpang, sementara jiwa anda pula sentiasa memberontak, dan pihak universiti tidak akan berkompromi dalam hal-hal yang melanggar peraturan dan disiplin,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Lafaz Ikrar  dan Aku Janji Pelajar Baharu UMS Sesi 2016/2017 di Dewan Canselor.

Ujarnya, majlis lafaz ikrar pelajar ini diharap akan membantu siswa-siswi UMS  menentukan matlamat masing-masing.

“Jangan ada lagi yang masih tercari-cari tujuan asal melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Apabila menjejakkan kaki ke UMS, tujuannya adalah satu iaitu untuk menimba ilmu agar dapat mencapai cita-cita,” tegas beliau.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Menteri Sabah merangkap Pro Canselor UMS, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman.

KHAMIS, 1 SEPTEMBER –  Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui Unit Penyelidikan Psikologi dan Kesihatan Sosial (UPPsiKS), Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) telah menganjurkan Bengkel Pengenalan dan Praktis Psikologi Kesejahteraan Bersama Warga Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS) baru-baru ini.

Bertempat di Bilik Seminar 5,FPP, bengkel tersebut antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat luar mengenai kewujudan dan perkhidmatan psikologi yang juga ditawarkan kepada masyarakat seluruh Sabah.

Menurut Ketua UPPsiKS, Dr. Ferlis Bullare, selain mendengar taklimat, para peserta juga berpeluang melawat dan melihat sendiri kemudahan, alat dan perkhidmatan seperti hypnotheraphy, makmal Bio-Neurofeedback dan alat ujian personaliti yang disediakan oleh pihak UPPsiKS.

“Adalah menjadi harapan agar bengkel ini dapat memberi pengetahuan berguna kepada para peserta sekali gus berupaya meningkatkan motivasi mereka,” katanya.

Melalui bengkel ini pelajar didedahkan tiga tajuk utama, Memahami Psikologi Kebahagiaan dan Personaliti, EQ dan Peranan Hypnotheraphy, Pengenalan dan Aplikasi Neurofeedback, disampaikan oleh Dr. Ferlis dan dua pensyarah FPP, Dr. Lailawati Madlan dan Jasmine Adela Mutang.

Bengkel sehari itu dihadiri seramai 50 orang pelajar KTYS.

SELASA, 30 OGOS - Pelbagai aktiviti terus dilaksanakan oleh pelbagai organisasi bagi menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan 2016.

Di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Pusat Minda Lestari (PML) turut tidak ketinggalan untuk memeriahkan lagi sambutan ini dengan menganjurkan Hari Kemerdekaan yang diraikan bersama oleh seluruh warganya yang terdiri daripada kanak-kanak,  kakitangan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Acara yang menyaksikan kibaran bendera Jalur Gemilang dan Negeri Sabah serta persembahan lagu-lagu patriotik daripada kanak-kanak PML itu dirasmikan Pendaftar UMS,  No’man Haji Ahmad.

Dalam ucapannya, beliau memuji langkah PML untuk menganjurkan program sedemikian yang disifatkannya amat bermanfaat khususnya dalam memupuk erti kemerdekaan sejak di peringkat awal umur lagi.

“Ini bukan sahaja boleh menanam semangat patriotik yang tinggi, malah melahirkan masyarakat yang taat setia kepada negara dan lebih menghargai maksud sebenar hidup dibawah kebebasan dari penjajahan,” katanya.

Beliau berkata, generasi pada masa kini juga perlu memahami konsep merdeka dalam perspektif yang lebih luas iaitu bukan hanya bebas daripada penjajahan secara fizikal tetapi juga bebas daripada jajahan berbentuk pengaruh dan anasir-anasir negatif dari luar.

“Kemerdekaan tidak akan bermakna jika pemikiran masih dijajah. Kita perlu merdeka dari pengaruh luar, merdeka dan bebas dari pengaruh negatif,” tambah No’man.

Pada majlis itu, kanak-kanak PML turut memperagakan pakaian yang bertemakan semangat kemerdekaan.

Turut menjadi pengisian ialah Taklimat Program Pendidikan Tanpa Hutang yang disampaikan Pengarah Putra & Associates,  Etiqa Takaful Berhad, Haji Pangeran Putra Haji Pangeran Omar.

Hadir sama, Pengarah PML, Aidah Noordin dan Penolong Pendaftar merangkap Pengerusi Sambutan Hari Kemerdekaan PML 2016, Faddili Kasin. -SS

SELASA, 30 OGOS – Program ‘Larian Merdeka 10km Ke Puncak UMS’ anjuran Jawatankuasa Kebajikan, Rekerasi dan Libatsama Masyarakat (KARIB) Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) baru-baru ini meriah dengan penyertaan lebih 80 orang peserta.

Dalam acara tersebut, dua kategori dipertandingkan iaitu kategori lelaki dan wanita, selain peluang memenangi hadiah seperti hamper, barangan letrik dan barangan dapur bagi acara cabutan bertuah untuk peserta yang hadir.

Menurut Ketua Penganjur Program, Veronica Petrus Atin, larian ini bertujuan mengukuhkan penghayatan terhadap kemerdekaan dalam kalangan warga UMS  dan peserta larian, di samping menggalakkan gaya hidup sihat sempena bulan Merdeka ini. 

Acara tersebut menyaksikan Kenson muncul johan bagi kategori lelaki, sekali gus memenangi wang tunai RM200, trofi dan sijil, manakala kategori wanita dimenangi oleh Bibot Juma.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Romario dna Jowey bagi kategori lelaki, dan kategori wanita dimenangi Awina Khamis dan Shenny Liaw.

Masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM100, trofi dan sijil bagi naib johan, dan wang tunai RM50,trofi dan sijil bagi tempat ketiga.

25  peserta yang  terawal menamatkan larian bagi setiap kategori mendapat medal  dan sijil,  dan setiap peserta yang  mendaftar diberikan sijil dan pek larian yang  berupa beg  UMS  berisi t’shirt,  kad larian dan minuman.

Pelepasan larian disempurnakan oleh Timbalan Canselor HEPA,  Prof.  Dr Ismail  Ali diiringi oleh Dekan PPIB,  PM  Dr Jualang Gansau @ Azlan Abdullah.

Sumber: PPIB

ISNIN, 29 OGOS - Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima seramai 4,579 kemasukan Pelajar Baharu bagi  Sesi 2016/2017, satu peningkatan berbanding sesi terdahulu seramai 4,481.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah, daripada jumlah tersebut, 47 peratus adalah anak jati dari Sabah.

“Jumlah berkenaan mencatatkan seramai 2,107 pelajar dari Sabah, manakala 52 peratus ialah pelajar dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak iaitu masing-masing dengan jumlah 1,927 dan 377 pelajar.

Selebihnya adalah pelajar antarabangsa, iaitu seramai 168 orang merangkumi dari beberapa buah negara termasuk China, Brunei, Jerman, Afrika Selatan, Thailand, Indonesia, Tanzania, Sri Lanka, Pakistan, Jordan, Korea, Vanuatu dan Timor Leste,” katanya.

Jelasnya kemasukan pelajar antarabangsa juga turut meningkat sebanyak 30 orang berbanding sesi sebelumnya seramai 138 orang.

“Peningkatan ini antara lain adalah kerana UMS giat dalam usaha mempromosikan universiti di peringkat antarabangsa melalui pameran pendidikan bagi menggalakkan kemasukan pelajar asing.

“Selain itu, UMS juga banyak menjalinkan kerjasama dengan pihak luar atau agen lain untuk mempromosi dan mendapatkan lebih ramai pelajar antarabangsa untuk datang ke sini,” katanya.

Beliau menambah, sejumlah 13 pelajar golongan orang kelainan upaya (OKU) juga diterima masuk di UMS, selain 100 tempat kepada pelajar tergolong dalam kategori isi rumah 40 peratus terendah (B40) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UMS.

“CSR ini adalah satu inisiatif UMS dalam menjalankan tanggungjawab memastikan pelajar kurang berkemampuan dapat meneruskan pengajian ke peringkat universiti,” ujarnya.