RABU, 18 SEPT - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata Malaysia perlu mengamalkan pembangunan lestari dalam usaha menjadikan negara ini sebagai negara berpendapatan tinggi menjelang abad ke-21.

Katanya, Malaysia telah menekankan penggunaan teknologi hijau menerusi pelbagai inovasi sebagai alat untuk pembangunan lestari bagi meminimumkan kemusnahan alam sekitar.

“Ia pada masa sama dapat menggalakkan dan mengekalkan alam sekitar untuk melestarikan segala bentuk kehidupan,”ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks perasmian Persidangan Ekonomi Antarabansga (ICE) 2019 anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Kewangan, Sharifuddin Hata, kelmarin.

Tambah beliau, pembangunan global bukan hanya merupakan tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi ia juga merupakan tanggungjawab masyarakat secara menyeluruh.

“Kita harus bekerja secara kolektif sama ada di peringkat negeri, nasional dan global. Usaha kita perlu dilakukan secara berterusan dan berkesan bagi mencapai matlamat bersama,” katanya.

Terdahulu Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata permbangunan lestari di negara ini harus mengambil kira tentang keadilan sosial, keperluan asas manusia, kesihatan awam serta kesedaran alam sekitar.

Katanya, kesihatan ekonomi bandar adalah pemacu ke arah kelestarian dengan mempertimbangkan peruntukan sumber, pelupusan sampah secara mapan dan pengurangan tahap pencemaran di kawasan bandar.

“Kita sebagai satu negara perlu memberi tumpuan kepada pembangunan aktiviti ekonomi, peluang pekerjaan serta pembasmian kemiskinan,” ujarnya dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Dekan FPEP, Profesor Madya Dr. Raman Noordin.

Persidangan selama dua hari itu disertai oleh kira-kira 150 peserta dari dalam dan luar negara teramasuk China, Indonesia , Jepun, Korea Selatan, dan Nigeria.

 

SELASA, 17 SEPTEMBER - Universiti Malaysia Sabah terus mengukuhkan jalinan kerjasama dengan pihak industri dalam memantapkan keupayaannya sebagai sebuah institusi pendidikan yang berinovatif dan relevan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, usaha itu bukan hanya tertumpu di dalam negara sahaja tetapi turut diperluas kepada syarikat-syarikat di peringkat global.

“Untuk itu pada 11-14 September 2019, UMS telah mengadakan lawatan kerja ke Overseas Chinese Town (OCT), sebuah syarikat gergasi milik kerajaan China yang berpangkalan di Bandar Shenzen dan Hainan bagi membincangkan jalinan kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada kedua belah pihak.

“Pada asasnya, pihak OCT sangat mengalu-alukan hasrat kerjasama ini yang menyaksikan intipati perbincangkan lebih menjurus kepada kerjasama akademik termasuk peluang latihan industri pelajar UMS di syarikat yang berpengalaman luas dalam industri taman tema serta pembangunan bandar pintar temasuk resort dan hartanah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Prof. Datuk. Dr. Taufiq, kehadirannya bersama rombongan UMS ke China juga bagi menyampaikan hasrat kepada ibu pejabat syarikat Huawei Technologies Co. Ltd. untuk meneruskan kerjasama yang sudah terjalin erat sebelum ini.

Katanya, kerjasama itu bukan sahaja perlu diteruskan tetapi diperluas kepada mana-mana ruang kolaborasi yang boleh dimanfaatkan bersama.

"Pada pertemuan itu pihak Huawei juga telah memberikan taklimat mengenai pengalaman mereka dalam pennyediaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di beberapa buah hospital pintar di China.

“Dan kebetulan hospital pintar UMS sedang dalam fasa awal pembinaan, justeru saya melihat wujud keperluan bagi mengadakan jalinan kerjasama dengan kepakaran Huawei untuk memastikan kesiapsiagaan Hospital Pintar UMS kelak.

“Sebagai maklum balas, syarikat yang terkenal dalam menghasilkan produk teknologi canggih dan serba moden itu memaklumkan tentang kesediaan mereka bekerjasama berdasarkan pengalaman dan keupayaan syarikat berkenaan dalam membangunkan beberapa sistem hospital pintar di China,” jelas beliau sambil memberitahu ia seiring dengan hasrat UMS ke arah Smart Eco Campus 4.0.

Lawatan kerja empat hari yang diinisiatifkan oleh Pusat Jaringan Industri dan Komuniti UMS itu turut mengunjungi OCT Harbour & Wetland, Shenzen; Shenzen Tourism College Jinan University; Konka Group; Zhongliao Village, Sanya Hainan;  Lu Hui Tou Park, Sanya, Hainan; dan Hainan Resort Software Community Haikou City.

 

SELASA, 17 SEPTEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus giat dalam usaha menambah bilangan pelajar dalam bidang sains, teknologi, dan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligent).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, ia adalah selaras dengan komitmen kerajaan untuk memajukan bidang sains, teknologi dan Kecerdasan Buatan negara dengan menyediakan dana penyelidikan dan pembangunan yang berpatutan bagi memastikan negara turut sama serta menjadi pemandu kepada Revolusi Industri ke-4 atau IR4.0.

“IR4.0 telah menzahirkan kehebatan Internet, sains dan teknologi dengan mengambil contoh kemunculan aplikasi Airbnb, Netflix, Grab, Spotify dan Waze, dengan Aplikasi Grab misalnya hanya memerlukan enam tahun penubuhan untuk bernilai 1 bilion dollar, berbanding Microsoft yang mengambil masa 15 tahun untuk bernilai 1 bilion dollar.

“Justeru, kerajaan sedar bahawa untuk menjadi sebuah negara yang berdaya saing yang tinggi memerlukan lebih ramai sumber tenaga manusia yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang teknologi, kreatif dan berinovasi.

“Sebab itulah pihak UMS sedang berusaha untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang sains, teknologi, dan Kecerdasan Buatan, di mana jangkaan sebanyak 60 peratus pelajar ijazah pertama akan mengambil jurusan sains,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Asasi Sains UMS Kali Ke-9 yang berlangsung di Dewan Resital, UMS.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Rasid Mail.

Tambah Prof. Datuk Dr. Taufiq Yap, melalui penambahan graduan jurusan sains daripada Asasi Sains Pusat Persediaan Sains Dan Teknologi (PPST) UMS, aspirasi untuk menjadi sebuah negara maju yang menekankan usaha ke arah melahirkan masyarakat berliterasi serta membudayakan sains dalam setiap dimensi kehidupan akan mampu tercapai.

“Oleh yang demikian, saya menyeru kepada para pelajar sekalian agar terus menanam minat terhadap bidang sains, teknologi dan Kecerdasan Buatan serta bertekad dan bersemangat menjadi sebahagian daripada nadi penggerak ke arah mencapai matlamat negara.

“Buktikan kepada dunia bahawa para pelajar juga merupakan antara pelakon kepada cerita Revolusi Industri ke-4 bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia,” katanya.

Terdahulu, Pengarah PPST, Prof. Madya Ts. Dr. Sazmal Effendi Arshad berkata, PPST telah memainkan peranannya dengan berkesan dalam membantu universiti dan negara melahirkan lebih ramai graduan dalam bidang sains dan teknologi.

Katanya, jumlah pelajar Asasi Sains yang telah dihasilkan oleh PPST adalah seramai 2,000 orang bermula pengambilan pelajar sesi 2010/2011 sehingga sesi 2018/2019.

“Jumlah inilah juga yang telah disediakan kepada universiti untuk program-program ijazah sarjana muda UMS, dan dengan sokongan padu daripada pihak universiti, PPST mampu mencapai angka lebih tinggi dalam menyediakan pelajar untuk mengikuti pengajian dalam jurusan sains dan teknologi.

“Sememangnya, PPST amat komited melahirkan generasi yang akan meneruskan perjuangan dalam bidang sains dan teknologi khususnya sejajar dengan keperluan negara pada masa kini dan akan datang,” ujar Dr. Sazmal.

Pada majlis tersebut, Prof. Dr. Rasid Mail menyampaikan sijil Asasi Sains kepada 295 graduan Asasi Sains UMS, serta empat anugerah iaitu Anugerah Naib Canselor kepada Mansura Mohameed, Anugerah Pengarah kepada Yii Ming Kai, Anugerah Pelajar Harapan kepada Alisha Shahana Mohd Sharil, dan Anugerah Pelajar Berdedikasi dan Berkepimpinan kepada Eliezer Nevall Anthony.

 

SELASA, 10 SEPTEMBER -  Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) merangkap Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin menerima anugerah darjah kebesaran Persekutuan 2019, kelmarin.

Beliau merupakan salah seorang daripada 30 penerima Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara  (P. J. N) yang membawa gelaran Datuk.

Turut menerima anugerah PJN Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Seramai 795 penerima pingat kebesaran sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

JUMAAT, 6 SEPTEMBER - Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan  (FPEP) Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah mengadakan Program Khidmat Masyarakat Kembara Merdeka 2.0 di Kampung Sayap, Kota Belud baru-baru ini.

Menurut Pensyarah Kanan FPEP, Dr. Saizal Pinjaman, pemilihan kampung yang terletak di kaki Gunung Kinabalu dengan penduduk sekitar 1600 orang ini adalah tepat kerana penduduk kampung yang rata-ratanya mengusahakan penanaman buah-buahan seperti durian, nanas dan tarap, sangat mengalu-alukan kedatangan para peserta dan memberikan kerjasama dalam menjayakan program.

“Di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga FPEP dan kampung, program yang berlangsung selama dua hari ini juga dapat memupuk semangat perpaduan serta cintakan negara sempena hari merdeka,” katanya.

Menurut beliau lagi, pada hari pertama program, Kursus Latihan Pengendali Makanan telah diadakan dengan kerjasama pensyarah Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Dr Mansoor Abdul Hamid, dengan penduduk kampung dilatih untuk menyiapkan masakan menggunakan bahan-bahan yang ditanam di sekitar kampung.

“Selain dari pengetahuan yang boleh digunakan untuk mengkomersialkan makanan untuk menambah pendapatan penduduk, sijil penyertaan yang turut diberikan kepada 15 orang peserta juga boleh digunakan untuk membantu penduduk dalam mencari pekerjaan berkaitan penyediaan makanan kelak.

“Waktu malam pula diisi dengan aktiviti BBQ dengan menjemput sebilangan warga kampung untuk bertukar-tukar cerita dan pandangan mengenai rencah kehidupan masyarakat sempena mengisi malam kemerdekaan,” kata Dr. Saizal.

Pada hari kedua program pula, katanya dua aktiviti diadakan serentak dengan pertandingan mewarna Jalur Gemilang bersama kanak-kanak sekolah SK Sayap diadakan bagi menggilap perasaan Sayangi Malaysiaku dalam kalangan generasi muda, manakala aktiviti membaiki jambatan gantung pula dilakukan bersama warga belia kampung.

“Kedua-dua aktiviti ini mempunyai simbolik tersendiri dengan aktiviti mewarna Jalur Gemilang menunjukkan kepentingan untuk menerapkan sifat patriotisme dalam kalangan anak muda yang bakal memimpin negara pada masa hadapan.

“Bagi pembaikan jambatan gantung pula, selain dari membantu penduduk dan pelancong untuk bergerak di sekitar kampung, ini juga menjadi simbol pengukuhan ‘jambatan’ keakraban di antara warga FPEP dan masyarakat di sana,” katanya.

Ujar beliau, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilakukan di kampung tersebut dijangka akan diteruskan pada masa akan datang setelah mendapat respon positif penduduk kampung yang menyatakan beberapa siri CSR oleh FPEP di Kampung Sayap, Kota Belud sebelum ini telah banyak membantu mereka dalam mengembangkan produk pelancongan.