JUMAAT, 6 SEPTEMBER - Universiti Malaysia Sabah (UMS) sentiasa berusaha untuk memastikan para pelajar menikmati setiap detik pembelajaran di UMS, serta mempersiapkan mereka selaras dengan keperluan industri pada hari ini.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, perkara itu antara keutamaan pihak universiti seperti yang terkandung dalam Bidang Keberhasilan Utama (KRA), Pelan Strategik UMS 2018 - 2022  iaitu Meningkatkan Pengalaman Holistik Pelajar.

"Kita mahu menjana graduan yang lebih berkualiti sekali gus menjadi universiti yang mempunyai kebolehpasaran graduan yang tinggi.

"Justeru, adalah menjadi harapan UMS agar setiap pelajar juga dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada pembelajaran serta sentiasa berusaha menyediakan diri dengan ilmu dan kemahiran yang terbuka luas di gedung ilmu ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Ikrar dan Aku Janji Pelajar Baharu Fakulti Pertanian Lestari, UMS Sandakan, hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan Penolong Naib Canselor, Prof. Dr. Marcus Jopony.

Menurut Prof. Dr. Taufiq Yap, para pelajar perlu memanfaatkan setiap ruang dan peluang yang telah disediakan untuk bekalan tambahan alam kehidupan selepas bergelar graduan kelak.

Beliau mengingatkan para pelajar agar menyisihkan amalan-amalan negatif seperti malas, suka bertangguh, ponteng kelas dan sebagainya sebelum ia mendatangkan mudarat yang lebih berat pada masa hadapan.

"UMS akan terus membuka peluang untuk anda menggapai impian, menunjuk jalan ke arah kecemerlangan.

"Ikhlaskan hati, teguhkan tekad kerana di sini lahirnya cinta ilmu, cinta iman dan citra bakal pemimpin negara pada masa hadapan," tambah Prof. Dr. Taufiq.

Hadir sama pada majlis itu, Dekan FPL Prof. Dr. Abdul Hamid Ahmad dan kakitangan akademik dan pentadbiran fakulti berkenaan.

KHAMIS, 5 SEPTEMBER – Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memainkan peranan dalam bidang penjagaan kesihatan di negeri ini melalui penganjuran buat julung kalinya Persidangan International Borneo Healthcare And Public Health (IBPH) dan 4th Borneo Tropical Medicine and Infectious Disease Congress yang berlangsung di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS.

Persidangan tersebut menghimpunkan lebih 200 delegasi pengamal perubatan dari Malaysia serta luar negara termasuk Singapura dan Australia.

Menurut Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Taufiq Yap Yun Hin, usaha menghimpunkan para pengamal perubatan dari pelbagai latar belakang dan disiplin perubatan adalah sesuatu yang baik bagi membolehkan para peserta saling berkongsi pengetahuan dan mengemas kini perkara berkaitan bidang kesihatan.

“Para pengamal perubatan perlu berpengetahuan dan mahir terhadap perkembangan teknologi terkini yang berkaitan dalam bidang perubatan, kerana prospek terhadap meningkatkan bidang penjagaan kesihatan menuntut kita untuk menganalisis setiap teknologi baru serta potensi dan manfaatnya.

“Kemajuan dalam bidang perubatan sering memerlukan perubahan minda, dengan penanaman minda yang inovatif yang mampu mengatasi kebijaksanaan konvensional untuk membuat penemuan penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan persidangan tersebut di Auditorium Utama, FPSK.

Tambah Prof. Dr. Taufiq Yap, Malaysia merupakan salah satu negara di rantau ini yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan yang lebih baik, dengan sistem penyampaian penjagaan kesihatan yang saksama dan boleh diakses oleh orang ramai serta penyediaan liputan perkhidmatan yang komprehensif telah meningkat.

“Namun, penyakit berjangkit seperti TB, Malaria, demam denggi, HIV/AIDS dan lain-lain masih menimbulkan ancaman besar kepada kita.

“Untuk itu, usaha ke hadapan bagi menangani perkara itu adalah memfokuskan lebih banyak penyelidikan dan inovasi, dan penganjuran persidangan IBPH ini adalah satu platform yang bermanfaat bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi kepada semua negara secara umumnya,” ujar beliau.

Hadir sama pada majlis tersebut Dekan FPSK, Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree; wakil World Health Organization untuk Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr. Ying-Ru Jacqueline Lo; Pengerusi Persidangan, Datuk Dr. Mohd Yusof Ibrahim; dan Presiden Infectious Disease Society Kota Kinabalu, Dr. Timothy William

RABU, 4 SEPTEMBER - Kursus Training for Trainer (TOT) bagi tenaga pengajar kursus kokurikulum berkredit di Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dilaksanakan dengan jayanya baru-baru ini termasuk di dua kampus cawangan universiti tersebut iaitu Kampus Antarabangsa Labuan (KAL) dan Fakulti Pertanian Lestari (FPL), Sandakan.

Timbalan Pengarah (Akademik) PKPP UMS, Dr. Jurry Foo berkata, program yang diterajui PKPP itu merupakan aktiviti wajib yang dianjurkan secara tahunan sebagai usaha pemantapan berterusan tenaga pengajar bagi menjamin kualiti sistem Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).

“Ia bagi membolehkan setiap tenaga pengajar menghasilkan pelajar yang holistik sekali gus membawa kepada pembentukan awal kendiri pelajar sebelum menghadapi cabaran hidup dunia sebenar.

“Ia seiring dengan peranan PKPP yang bertanggungjawab terhadap pembentukan asas kemahiran kepimpinan dan kemahiran sosial pelajar,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr. Jurry, Kursus TOT kali ini disertai 90 peserta yang terdiri daripada tenaga pengajar yang diyakini mempunyai kemampuan menyeluruh dalam melaksanakan kursus berkredit yang ditawarkan oleh PKPP UMS.

Katanya, tenaga pengajar yang dipilih juga mempunyai latar belakang mengendalikan kursus berasaskan kemahiran dan khidmat masyarakat yang merupakan aktiviti utama PKPP dalam membimbing pelajar.

“Pada kursus ini, tenaga pengajar diberikan taklimat berkaitan matlamat dan ciri akademik dan kaedah pelaksanaannya serta pendedahan terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan di PKPP termasuk tanggungjawab seseorang pengajar.

“Mereka turut menjalani latihan dalam kumpulan yang memerlukan setiap peserta mengambil bahagian mengikut kumpulan masing-masing bagi menyelesaikan tugasan yang diberi dengan tujuan untuk memberi kefahaman mendalam tentang peranan PKPP di UMS,  selain sebagai aktiviti membina hubungan kerjasama sesama tenaga pengajar,” tambahnya lagi.

 Sementara itu, Dr Jurry juga menyatakan bahawa keistimewaan utama kursus berkredit di PKPP ialah adaptasi bidang disiplin kepada penghayatan dan penguasaan kendiri pelajar.

Beliau berkata, pelajar didedahkan asas ilmu bidang dan kemudiannya dibimbing untuk mengaplikasikan ilmu itu untuk membentuk ciri kepemimpinan seterusnya mengaplikasikan pengetahuan bidang kepada masyarakat melalui program Siswa Prihatin (SPRINT).

“Pada sesi akademik 2019/ 2020 ini, PKPP mengekalkan kesemua komponen kursus iaitu komponen sukan, rekreasi dan waja diri, komponen seni dan kebudayaan, komponen bisnes dan teknologi, komponen kemasyarakatan dan komponen unit beruniform dan penyelamat untuk ditawarkan kepada pelajar.

“Kursus-kursus tersebut akan dikendalikan dengan menggunakan pelbagai pendekatan, khususnya kaedah PdP yang memenuhi keperluan Revolusi Industri ke – 4 termasuk mengaplikasikan pembelajaran teradun dan atas talian sebagai gaya PdP generasi kini,” katanya.

 

SELASA, 3 September - Seramai 4,362 pelajar ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi kemasukan Pelajar Baharu Sesi 2019/2020.

Naib Canselor UMS, Prof. Dr. Yap Yun Hin berkata, jumlah tersebut merangkumi 2,570 (59%) pelajar dari Sabah, 1,690 (39%) dari  Semenanjung Malaysia dan Sarawak, dan 102 (2%) pelajar antarabangsa.

“Pelajar antarabangsa itu berasal dari 14 buah negara, iaitu China (72 orang), Brunei (9 orang), Indonesia (6 orang), Bangladesh (3 orang), Korea Selatan (2 orang), Hong Kong (2 orang) dan masing-masing seorang dari Jepun, Filipina, Afrika Selatan, Gabon, Yemen, Maldives, Mesir dan Pakistan,” katanya pada sidang media semasa pendaftaran pelajar baru di Kolej Kediaman E, hari ini.   

Beliau berkata,  UMS turut menawarkan 178 tempat kepada pelajar kurang berkemampuan berdasarkan pendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) menerusi program Merobah Idea Menjadi Realiti (MENITI)

“Pada tahun ini UMS turut menerima kemasukan 8 orang pelajar dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU).  Kesemua mereka ini ditempatkan di tingkat bawah Kolej Kediaman Tun Fuad untuk memudahkan pergerakan selain disediakan kenderaan khas untuk menghadiri kuliah.

“UMS juga menerima kemasukan 40 pelajar bagi program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Sains Data) Fakulti Komputeran dan Informatik,” ujar Prof. Dr. Taufiq.

Kesemua pelajar akan tinggal di kolej kediaman dan akan mengikuti Minggu Suai Mesra (MSM) sehingga 6 September sebagai persiapan bagi menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan kampus.

 

JUMAAT, 30 Ogos - Kerajaan dan sektor swasta harus mengakui pentingnya bidang sains komputer dalam menyokong usaha kerajaan untuk mewujudkan masyarakat pintar.

Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS),Profesor Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata ianya boleh dilihat melalui pengenalan program pengaturcaraan komputer ke dalam kurikulum pendidikan di sekolah menengah.

“Di Malaysia secara umumnya dan Kota Kinabalu khususnya, lebih banyak aktiviti yang berkaitan dengan sains data dan data besar telah dirancang. Sebagai contoh, UMS kini menawarkan dua program pascasiswazah yang direka untuk membolehkan pelajar meneroka dan memperoleh pengetahuan yang berkaitan dengan kecerdasan pengkomputeran,” katanya dalam teks ucapan aluan sempena Persidangan Antarabangsa mengenai Sains Komputer dan Teknologi ke-6 yang dibacakan oleh Penolong Naib Canselor UMS, Profesor Dr. Marcus Jopony, kelmarin.

Persidangan tersebut dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.  

Tambah Profesor Dr. Taufiq, pada tahun ini UMS mula menawarkan program Ijazah Sarjana Sains Komputer  (Sains Data) dengan Kepujian untuk kumpulan pertama pengambilan bagi sesi akademik 2019/2020.

“Program ini akan menyediakan para pelajar dengan segala pengetahuan dalam Pembelajaran Mesin, Internet of Thing (IoT), Analisis Data Besar, Kecerdasan Buatan dan banyak lagi,” jelas beliau.

Profesor Dr. Taufiq turut mencadangkan agar pengusaha bidang pertanian di negeri ini memanfaatkan trend teknologi untuk meningkatkan produktiviti sumber tanaman.

“Dengan pendekatan maju dalam sains pengkomputeran, Sabah yang memiliki kekayaan dalam bidang pertanian boleh memanfaatkan  penggunaan teknologi ini untuk meningkatkan produktiviti pertanian dengan menggunakan data besar dan sains pengkomputeran untuk melakukan teknologi perladangan pintar atau teknologi pertanian yang tepat,” ujar beliau.

Lebih 120 peserta menyertai persidangan itu yang berlangsung selama dua hari bermula kelmarin anjuran Fakulti Kejuruteraan Informatik (FKI) UMS.

Turut hadir, Dekan FKI Profesor Dr. Abdullah Gani dan Pengerusi penganjur, Profesor Madya Dr. Rayner Alfred.