JUMAAT, 30 JUN - Exco Kemasyarakatan Jawatankuasa Blok Ibnu Sina Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Lawatan Kemasyarakatan ke Rumah Anak Yatim Al Aman Beaufort baru-baru ini.

Diiringi Felo Penyelaras Blok Ibnu Sina, Mat Usop Haji Rasid dan Timbalan Pengetua Kolej Kediaman E, Mohd. Hilmey Saili, lawatan itu disertai 40 mahasiswa penghuni blok dan kolej berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh blok itu, ia antara lain dianjurkan untuk memberi peluang kepada para mahasiswa meningkatkan kemahiran berkomunikasi sekali gus memupuk sikap prihatin dalam diri.

Pelbagai aktiviti seperti sesi pembentangan logo, permainan stesen dan persembahan kreatif juga telah diadakan.

Para mahasiswa turut mengambil bahagian bersama anak-anak yatim dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan.

Kegembiraan jelas terpancar di muka anak-anak yatim yang gembira dengan setiap acara yang diadakan selain berterima kasih kepada rombongan berkenaan kerana sudi meluangkan masa bersama mereka dengan aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan.

 

Sumber: Blok Ibnu Sina

KHAMIS, 29 JUN - Pelajar Program Perniagaan Antarabangsa, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menganjurkan ‘Projek Hope 2.0’.

Pengarah program, Vivian Chow berkata, ia diadakan meliputi dua aktiviti iaitu larian amal dan aktiviti melawat rumah anak yatim.

“Aktiviti larian amal berlangsung di Padang Kawad UMS yang disertai mahasiswa dan orang awam, manakala aktiviti melawat rumah anak yatim telah diadakan di Rumah Anak Yatim As-Sakinah dan Care Haven, Kota Kinabalu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Projek Hope 2.0 antara lain bertujuan untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada para peserta tentang khidmat masyarakat selain sebagai usaha untuk mahasiswa menyumbang bakti kepada komuniti setempat.

“Dalam masa yang sama, program ini juga mengeratkan silaturahim sesama mahasiswa yang terdiri daripada latar belakang berbeza sekali gus mengukuhkan perpaduan dan menjayakan pelaksanaan konsep 1Malaysia,” kata Vivian.

Beliau turut menyuarakan harapan agar program seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang kerana mampu memberi pengalaman yang baik kepada para mahasiswa di samping membolehkan mereka membantu masyarakat kurang bernasib baik.

Program selama dua hari itu turut dijayakan dengan bantuan para pensyarah FPEP, UMS.

 

Sumber:  Program Perniagaan Antarabangsa

RABU, 28 JUN - Seramai 40 pelajar wanita Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Bengkel Pengurusan Penampilan dan Imej (BPPI) yang dianjurkan Persatuan Mahasiswa Psikologi dan Pendidikan (PERMAPS) baru-baru ini.

Bertempat di Dewan Kuliah Pusat 29, bengkel tersebut diadakan dengan kerjasama Charismatic Leaders Academy (CLA).

Menurut kenyataan PERMAPS, antara aktiviti yang dijalankan termasuklah taklimat bertajuk “Building Confidence: Attitudes & Attire”, sesi bual bicara kecantikan dan keyakinan diri serta  kelas solekan “Night & Day Look”.  

Menurut kenyataan itu lagi, bengkel tersebut dilaksanakan bagi mendidik para peserta mengenai pentingnya penjagaan penampilan dan imej dalam pembentukan sahsiah diri seseorang yang bergelar mahasiswa.

Majlis perasmiannya disempurnakan Pensyarah Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP), Dr. Crispina Gregory K. Han.

Dalam ucapannya, beliau berharap agar program seumpama itu dapat diteruskan kerana mampu memberi pelbagai manfaat khususnya dalam mendidik para pelajar dalam aspek penampilan sekali gus meningkatkan keyakinan diri.

 

Sumber: PERMAPS

 

KHAMIS, 22 JUN - Sekretariat Rakan Integriti Mahasiswa (SRIM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mengadakan Kembara Integriti SRIM Siri 3 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Menurut kenyataan SRIM, penganjurannya di UPSI adalah bersempena Program Perhimpunan Rakan Integriti Mahasiswa (PRIMA) anjuran Rakan Integriti Mahasiswa (RIM) UPSI.

Program yang berlangsung selama empat hari itu menyaksikan penyertaan seramai 12 ahli SRIM UMS yang terdiri daripada barisan Majlis Tertinggi dan Majlis Eksekutif SRIM.

Dalam kenyataan itu ada menyebut bahawa rombongan peserta UMS turut berkongsi pengalaman dan idea berkaitan dengan program-program yang telah dijalankan dengan jayanya oleh mereka di UMS.

Program PRIMA itu turut diisi dengan forum bertajuk ‘Integriti dalam Pendidikan’ yang telah berlangsung di Dewan E-Learning UPSI.

Antara topik yang dibincangkan adalah bagaimana integriti dalam pendidikan boleh melahirkan ramai mahasiswa yang hebat.

Turut menjadi perbincangan hangat ialah bagaimana membentuk generasi yang berintegriti seiring dengan kecemerlangan dalam pencapaian pendidikan.

 

Sumber: SRIM, UMS

KHAMIS, 22 JUN - Exco Kesenian dan Kebudayaan, Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) Non-Resident (NR), Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengadakan Program Jejak Seni dan Kebudayaan Sabah baru-baru ini.

Program itu diadakan di tiga lokasi iaitu Muzium Sabah, Muzium Tamadun Islam dan Balai Seni Sabah dengan penyertaan  seramai 40 mahasiswa.

Menurut kenyataan Jakmas NR, penganjurannya antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada peserta khususnya yang berasal dari luar negara, Sarawak dan Semenanjung Malaysia tentang keunikan adat dan kebudayaan masyarakat Sabah yang diwarisi sejak turun temurun.

Kenyataan itu memaklumkan, kesemua peserta ketika berada di Muzium Sabah telah melawat Geleri Keretapi, Pusat Sains Sabah serta Rumah-rumah Tradisional.

Di Muzium Tamadun Islam pula, selain lawatan ke sekitar muzium, turut diadakan taklimat dan sesi soal jawab bersama pegawai dari muzium tersebut.

Program itu diakhiri dengan kunjungan ke Balai Seni Sabah.

 

Sumber: Jakmas NR