SELASA, 13 JUN - Seramai 60 orang peserta menyertai Kursus dan Latihan Kepimpinan (Kilap) anjuran comittee of Financial and Banking Management Club (FMBC) sesi 2016/2017 baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh FMBC, kesemua peserta terdiri daripada pelajar Tahun 1 dan Tahun 2 Program Pengurusan kewangan dan Perbankan HE06.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pengenalan terhadap tatacara penulisan proposal yang berkesan,  ceramah teknik membuat latihan proposal, ceramah bertajuk ‘Hala Tuju Mahasiswa Semasa dan Selepas Universiti’, serta beberapa aktiviti membina kesepakatan dan hubungan dalam kumpulan peserta.

Bertempat di Dewan Kuliah Pusat 29, program tersebut antara lain bertujuan memberi pengenalan awal kepada peserta yang bakal menggantikan ahli jawatan kuasa FMBC pada sesi yang akan datang.

Program itu telah dilaksanakan dengan bimbingan daripada presiden dan timbalan presiden FMBC yang banyak memberi tunjuk ajar kepada ahli jawatankuasa pelaksana Kilap.

 

Sumber: Financial and Banking Management Club

 

ISNIN, 12 JUN - Kelab Green Team di bawah naungan Kelab Kewangan dan Perbankan HE06 baru-baru ini mengadakan program berkaitan kebersihan pantai bertempat di Pantai ODEC, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab itu, program tersebut bertujuan untuk membangkitkan kesedaran ahli-ahli kelab terhadap amalan budaya hijau.

Selain itu, ia juga bagi memupuk dan membina semangat cintakan alam sekitar di samping mengeratkan silaturahim sesama mereka.

Menurut kenyataan itu lagi, selain pembersihan pantai turut diadakan acara sukaneka seperti permainan tali panjang, teka gambar dan permainan bola beracun.

Program tahunan kelab itu disertai  31 peserta dan 16 ahli jawatankuasa Kelab Green Team.

 

Sumber: Kelab Green Team

ISNIN, 12 JUN - Lentera Tari Kolej Kediaman E, Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan Program Fitness Dance 3.0 sebagai usaha untuk menerapkan amalan gaya hidup sihat ke arah melahirkan individu yang cergas dan cerdas sekali gus memupuk semangat kekitaan antara pelajar, kakitangan universiti dan masyarakat awam.

Pengarah Program, Hasmida Bakri berkata, seramai 305 peserta terdiri daripada mahasiswa, kakitangan dan masyarakat sekitar menyertai aktiviti senamrobik dan tarian zumba itu yang bertempat di Stadium, Kompleks Sukan UMS.

“Berikutan pelbagai jenis penyakit yang boleh dihidapi akibat kurangnya aktiviti senaman, Lantera Tari mengambil inisiatif untuk menganjurkan program ini sebagai kesedaran dan membudayakan amalan pencegahannya di peringkat awal,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, dalam masa yang sama ia juga merupakan salah satu wadah bagi mengeratkan lagi keakraban sesama warga universiti.

“Oleh itu, golongan mahasiswa khususnya haruslah menjadikan budaya beriadah seperti berzumba dan senamrobik ini sebagai sebahagian daripada rutin ketika menuntut pengajian di universiti,” ujar Hasmida.

Turut menjayakan program itu, Pengetua Kolej Kediaman E, Dr. Syahruddin Hj. Awang Ahmad dan Timbalan Pengetua, Mohd. Hilmey Saili.

 

Sumber: Lantera Tari, Kolej Kediaman E

 

JUMAAT, 9 JUN - Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Fama Negeri Sabah sekali lagi menganjurkan Bazar Ramadan My Best Buy UMS yang bermula sejak 27 Mei sehingga 25 Jun 2017, di Padang Kawad UMS.

Ia antara lain bertujuan memberi kemudahan kepada warga UMS yang berpuasa terutamanya pelajar dan kakitangan.

Selain itu, kewujudan bazar ini juga membuka peluang perniagaan kepada pelajar yang berminat dalam bidang keusahawanan.

Sebanyak 46 gerai yang mengambil bahagian merangkumi 22 gerai pelajar dan 24 gerai peniaga luar dengan jualan pelbagai menu hidangan dan juadah berbuka puasa.

Usaha itu juga adalah bagi memupuk nilai keusahawanan dalam pelajar dan masyarakat seperti bersifat jujur dalam setiap kegiatan jual-beli yang dijalankan serta memberikan khidmat yang terbaik kepada semua.

Pada Bazar itu, Fama menyelaraskan peniaga luar manakala Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keusahawanan (ERDEC), UMS menyelaraskan penyertaan mahasiswa.

Pihak Fama turut menyediakan kanopi dan meja kepada pelajar yang berniaga selain bersama-sama ERDEC memantau perjalanan dan harga makanan di Bazar tersebut dari semasa ke semasa.

Setakat 12 hari Bazar Ramadan itu diadakan, sebanyak RM80,000 nilai jualan telah dicatatkan dengan RM25,000 daripadanya adalah hasil jualan pelajar UMS.

Pada tahun 2016, sebanyak RM402,212.30 nilai jualan dicatatkan selama penganjuran bazar berkenaan dengan jumlah jualan pelajar bernilai RM87,788.60.

Majlis pelancarannya disempurnakan kelmarin oleh Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah.

 

JUMAAT, 9 JUN – Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, Jabatan Bendahari melalui Kelab Kakitangan Jabatan Bendahari menganjurkan majlis Tazkirah Ramadan di Bilik Mesyuarat Cemerlang, Aras 3, Bangunan Canselori, pagi tadi.

Dengan tajuk “Cerita Disebalik Nuzul Al-Quran”, tazkirah itu disampaikan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS), Md. Razali Saibin.

Pada tazkirah itu, kaunter pembayaran zakat fitrah juga turut dibuka untuk memudahkan kakitangan yang ingin menjelaskan bayaran zakat fitrah masing-masing.

Tazkirah itu telah dihadiri 35 kakitangan Jabatan Bendahari.

Yang turut hadir, Bendahari UMS, Zallifah Shadan dan Timbalan Bendahari, Mohamad Edrus Othman.

 

Sumber: Rahmat Kasmin, Jabatan Bendahari