JUMAAT, 9 JUN – Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, Jabatan Bendahari melalui Kelab Kakitangan Jabatan Bendahari menganjurkan majlis Tazkirah Ramadan di Bilik Mesyuarat Cemerlang, Aras 3, Bangunan Canselori, pagi tadi.

Dengan tajuk “Cerita Disebalik Nuzul Al-Quran”, tazkirah itu disampaikan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Pusat Islam Universiti Malaysia Sabah (PIUMS), Md. Razali Saibin.

Pada tazkirah itu, kaunter pembayaran zakat fitrah juga turut dibuka untuk memudahkan kakitangan yang ingin menjelaskan bayaran zakat fitrah masing-masing.

Tazkirah itu telah dihadiri 35 kakitangan Jabatan Bendahari.

Yang turut hadir, Bendahari UMS, Zallifah Shadan dan Timbalan Bendahari, Mohamad Edrus Othman.

 

Sumber: Rahmat Kasmin, Jabatan Bendahari

 

 

KHAMIS, 8 JUN - Seramai 20 pelajar calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arshad, Kota Belud menyertai program Selangkah Ke Menara Gading anjuran Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa (Jakmas) Kolej Kediaman Tun Mustapha (KKTM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini.

Pengarah Program, Mohamad Norazlan Norhisham berkata, program selama dua hari itu bertempat di sekitar kampus dan bertumpu di KKTM.

“Antara pengisian program termasuk lawatan sambil belajar ke beberapa kawasan UMS seperti Dewan Canselor, Perpustakaan, Menara Jam, Akuarium dan Muzium Marin, Pantai Odec, Galeri Borneensis dan Radio KKFM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan kepada media UMS.

Menurut Norazlan aktiviti itu dilaksanakan sebagai kesinambungan program yang dimulai Jakmas-jakmas terdahulu yang bertujuan memberi motivasi dan pendedahan alam kehidupan kampus kepada pelajar-pelajar.

“Ia sekali gus mampu meningkatkan semangat mereka untuk memasuki universiti di samping  mendorong untuk meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan SPM 2017,” katanya.

Selain Jakmas, program itu turut dijayakan sekretariat dan felo staf kolej.

Dalam pada itu, Pengetua KKTM, Dr. Mohamad Nizam Nazarudin turut menyuarakan sokongan terhadap program tersebut yang disifatkannya mampu meningkatkan kemahiran insaniah mahasiswa terutama dalam mengendalikan sesuatu program.

Majlis perasmian penutupan disempurnakan Felo Penyelaras Program, Dr. Sariah Abang.

 

Sumber: Kolej Kediaman Tun Mustapha

KHAMIS, 8 JUN – Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) hari ini telah mengadakan sesi taklimat berkaitan Fidyah Puasa dan Kumpulan Wang Amal Jariah (KWAJ) bersama kakitangan Jabatan Canselori di Bilik Mesyuarat Senat, Bangunan Canselori Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Taklimat yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam PBNS, Mohd Arif Hairul menyentuh tentang hukum orang yang meninggalkan puasa dan tuntutan membayar fidyah bagi puasa yang ditinggalkan, serta ganjaran amalan bersedekah bagi umat Islam.

“Hukum membayar fidyah adalah wajib bagi umat Islam, dan seseorang boleh dikenakan fidyah apabila dia meninggalkan puasa kerana keadaannya yang lemah atas faktor lanjut usia, sakit yang tidak berdaya untuk berpuasa dan harapan untuk sembuh tipis, ibu hamil atau menyusukan anak yang meninggalkan puasa hanya kerana khuatir keselamatan anaknya sahaja, dan orang yang berhutang puasa dan belum dijelaskan sehingga tiba Ramadan berikutnya.

“Kadar fidyah ialah satu mud atau secupak makanan asasi, dan di negeri Sabah nilai kadar semasa bagi bayaran fidyah adalah RM1.75 bagi sehari puasa yang ditinggalkan,” katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam agar mengamalkan amalan bersedekah, kerana keajaiban amalan bersedekah antaranya mampu meluaskan rezeki seseorang, menolak bala, memadam kemurkaan Allah s.w.t dan menolak daripada mati dalam keadaan tidak baik.

“PBNS mewujudkan Tabung KWAJ untuk tujuan tersebut, dan dengan sumbangan dana yang diberikan pelbagai bantuan dapat disalurkan seperti bantuan bencana alam,  bantuan kelengkapan masjid dan surau, bantuan madrasah, rumah anak yatim dan Sekolah Agama Rakyat (SAR), bantuan perubatan dan susu formula, dan bantuan-bantuan am seperti bantuan fakir miskin, bantuan bagi menjana pendapatan dan sebagainya,” ujar beliau.

Lebih 20 kakitangan Jabatan Canselori hadir pada taklimat tersebut.

 

RABU, 7 JUN - Kelab Kebudayaan Jepun, Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini menganjurkan Japanese Cultural Day (JCD) di Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) UMS. 

Timbalan Pengarah Program JCD, Tiong Su Ni berkata, acara itu dibuka kepada semua mahasiswa  UMS dengan pebagai pengisian termasuk jualan makanan-makanan Jepun, button badge rekaan sendiri, tayangan filem-filem Jepun, aktiviti rumah hantu, bengkel pemakaian yukata dan juga pameran barangan-barangan Jepun.

“JCD dilaksanakan sebagai satu usaha untuk mempromosi dan memberi pendedahan kepada para pelajar UMS terhadap budaya masyarakat Jepun.

“Ia kerana terdapat pelbagai budaya negara matahari terbit itu yang menarik dan mempunyai nilai yang baik untuk diteladani,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Tion Su Ni, antara aktiviti tumpuan ialah bengkel pemakaian yukata yang memberi peluang untuk mahasiswa melihat dan memakai sendiri pakaian itu serta mengambil gambar kenang-kenangan.

“Pemakaian yukata sememangnya memerlukan pengetahuan dan teknik yang tertentu serta memerlukan masa yang lebih lama,” jelasnya sambil memaklumkan pakaian itu digunakan sejak era Heian lagi dan dikaitkan dengan keanggunan serta kecantikkan seseorang wanita.

“Program ini kami rancang sejak semester lepas dan persiapan dibuat sejak sebulan lalu.

“Walaupun masa persediaan yang singkat, saya amat gembira dengan kejayaan penganjuran aktiviti ini secara keseluruhan,” tambah Tion Su Ni.

 

Sumber: Kelab Budaya Jepun

RABU, 7 JUN -  Persatuan Mahasiswa Perniagaan, Ekonomi, dan Perakaunan (PMPEP) menganjurkan program “Secretaries Day 2017” di Dewan Kuliah Pusat 2, baru-baru ini.

Program itu dihadiri 90 pelajar yang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa Persatuan Perniagaan, Ekonomi, dan Perakaunan, dan wakil-wakil daripada setiap program di Fakulti Perniagaan, Ekonomi, dan Perakaunan.

Program itu dijayakan oleh penceramah jemputan daripada Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) UMS, Muhamad Jumrat Minsun.

Dalam ceramahnya Jumrat berkata, penganjuran “Secretaries Day 2017” amat bertepatan sebagai pendedahan kepada para mahasiswa tentang tugas-tugas setiausaha secara terperinci, selain meningkatkan keberkesanan dalam bidang penulisan.

Melalui program itu, para mahasiswa diberi peluang untuk menyuarakan persoalan mengenai kaedah penulisan surat-menyurat, minit mesyuarat, laporan dan kertas kerja yang betul di samping memastikan mereka memahami konsep dan format sebenar dalam pengendalian dokumen-dokumen rasmi seumpama itu.

Salah seorang mahasiswa yang hadir, Mohamad Afiq Mohd Yusri  berkata, perkongsian ilmu pada program itu sangat bermanfaat sebagai bekalan ke alam pekerjaan kelak.

“Program ini dapat memperbaiki dan memantapkan kemahiran para mahasiswa daripada melakukan kesilapan dalam bidang penulisan.

“Saya berharap program-program sebegini akan terus dianjurkan pada masa-masa akan datang untuk peluang bagi kami meningkatkan pengetahuan dan kemahiran insaniah,“ katanya yang juga pelajar Program Keusahawanan.

Terdahulu, Pengarah Program “Secretaries Day 2017”, Nursilah Haris juga memaklumkan, program itu mampu membantu meningkatkan imej dan reputasi PMPEP untuk melahirkan mahasiswa yang mahir dalam penulisan dokumen-dokumen rasmi.

 

Sumber : Najihah Mohamad Nasir (PMPEP)